BERITA SEMASA

MPSepang anjur Program Pendidikan Alam Sekitar sempena Hari Alam Sekitar 2025

CYBERJAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meneruskan komitmen kelestarian alam sekitar menerusi penganjuran Program Pendidikan Alam Sekitar bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar 2025 yang berlangsung di Taman Tasik Cyberjaya semalam.

Program dianjurkan dengan kerjasama Global Environment Centre dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran awam serta memupuk tanggungjawab komuniti terhadap pemeliharaan ekosistem tempatan.

Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad dalam ucapannya berkata, program itu adalah sebahagian daripada pendekatan bersepadu MPSepang dalam menangani isu alam sekitar secara holistik dan inklusif.

Dr Ani bergambar bersama sebahagian peserta dan kanak-kanak yang terlibat dalam program tersebut.

“Melalui penglibatan aktif komuniti dan agensi berkaitan, kita ingin membawa pendidikan alam sekitar ke peringkat akar umbi.

“Ia bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi mencetuskan tindakan dan kesedaran kolektif untuk menjaga alam sekitar yang kita kongsi bersama,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan YDP MPSepang, Muhamad Shah Osmin serta barisan pengurusan kanan MPSepang yang bersama-sama menyertai aktiviti lapangan dan interaksi bersama peserta.

Antara pengisian menarik sepanjang program ialah penanaman pokok Kekabu, pelepasan ikan oleh YDP MPSepang di kawasan Taman Pendebungaan, lawatan ke tapak Nurseri Wetland/Biofilteri serta demonstrasi sistem Floatable Wetland iaitu satu kaedah rawatan semula jadi air tasik yang mesra alam.

Program tersebut turut memberi penekanan kepada usaha memulihkan kualiti air dan biodiversiti melalui pendekatan semula jadi, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan bandar Cyberjaya dan daerah Sepang secara amnya.

Melalui penyertaan komuniti dan pendekatan pendidikan berteraskan pengalaman sebenar, MPSepang berharap program sedemikian dapat memperkasakan masyarakat dalam membentuk gaya hidup lestari demi kesejahteraan bumi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button