BERITA SEMASA

Rekod disiplin, kesihatan mental penting untuk lindungi kebajikan pelajar – Fadhlina

PUTRAJAYA – Keperluan rekod disiplin dan kesihatan mental dibawa bersama pelajar yang berpindah sekolah adalah bagi memastikan sokongan berterusan dapat diberikan oleh pihak sekolah baharu, sekali gus menjamin kebajikan dan keselamatan pelajar terlibat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu bukan bertujuan memberi stigma kepada pelajar, sebaliknya bagi membolehkan intervensi dan sokongan sewajarnya dilaksanakan sejak awal.

“Apabila pengarah mengetahui pelajar berpindah sekolah kerana isu disiplin atau isu yang perlu ditangani termasuk kesihatan mental, rekod itu perlu dibawa sekali kerana ia perlu disokong oleh sekolah baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Pendidikan 2026 di auditorium KPM di sini, hari ini.

Baca juga : KPM kaji semula keperluan kembalikan UPSR, PT3

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad sebelum ini memaklumkan semua pelajar yang berpindah sekolah akan diwajibkan melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin mulai sesi persekolahan 2026.

Katanya, itu merupakan antara garis panduan baharu keselamatan sekolah yang akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid.

Fadhlina menambah, KPM telah melaksanakan reformasi segera dengan memberi penekanan kepada sokongan menyeluruh terhadap semua pelajar, termasuk mereka yang berdepan masalah disiplin atau kesihatan mental, agar hak pendidikan mereka terus terpelihara.

Katanya, pelajar bukan sahaja berhak meneruskan persekolahan, malah perlu diberikan sokongan yang sesuai termasuk dari aspek kesihatan dan psikososial.

Mengulas kebimbangan ibu bapa berkaitan isu kerahsiaan dan stigma, Fadhlina berkata, KPM terbuka menerima pandangan serta saranan bagi memastikan sistem sedia ada dapat ditambah baik sekiranya terdapat ketidakselesaan dalam pelaksanaannya.

“Sekiranya ada kebimbangan, kita boleh tampil dan berikan saranan supaya kita dapat lakukan intervensi sistem itu. Kita harap perkara ini boleh dibincangkan di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau menegaskan, semua pelajar tanpa mengira latar belakang masalah adalah keutamaan kementerian dan perlu dilindungi serta disokong secara adil.

“Baik pelajar yang berdepan masalah disiplin, masalah kesihatan mental atau pelajar biasa, semuanya adalah keutamaan kita,” ujarnya.

Tambah beliau, keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah juga menjadi fokus utama KPM dan pihak sekolah perlu memberi perhatian sewajarnya dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan menyokong.

“Kalau ada masalah disiplin, mesti ada program sokongan disiplin. Kalau ada masalah kesihatan mental, mesti disokong dengan program psikososial. Itu jaminan kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button