Polis tolak unsur jenayah susulan penemuan jasad remaja dalam bilik air
MELAKA – Polis menolak sebarang unsur jenayah berkaitan penemuan jasad seorang remaja 13 tahun dalam bilik air di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati tiada kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.
Tambahnya, polis hanya menemukan satu kesan calar kecil kira-kira 1.5 sentimeter di bahagian rusuk kiri mangsa yang dipercayai berlaku akibat hentakan ketika insiden berlaku.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menambah tekanan emosi terhadap keluarga mangsa.
“Tiada sebarang bukti menunjukkan mangsa terkena renjatan elektrik atau menjadi mangsa perbuatan jenayah.
“Kesan calar itu berkemungkinan berlaku akibat terlanggar peralatan di dalam bilik air,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Christopher memberitahu, kejadian disedari sekitar pukul 11.30 pagi selepas keluarga mangsa pulang ke rumah dan mendapati pintu bilik air berkunci dari dalam.
Katanya, ketika kejadian mangsa berada bersendirian di rumah kerana bapanya keluar bersama isteri dan seorang lagi anak lelaki.
“Punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan sepenuhnya dan pihak polis kini menunggu keputusan bedah siasat serta laporan analisis makmal daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
“Kes berkenaan buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






