Sultan Ibrahim zahir nasihat tegas kepada Panglima TDM
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman bagi memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi, baginda bertitah rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.

“Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baginda turut mengingatkan bahawa kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Azhan di Istana Bukit Tunku, di sini hari ini.
Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu. Pelantikan berkenaan adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








