‘Allah rehatkan dia’ – Bapa pelajar UniSZA reda pemergian Syakirah Hanan
KUALA TERENGGANU – Bapa kepada pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, 25, yang terkorban dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, di sini semalam reda dengan pemergian anak kedua daripada tujuh beradik itu.
Mazli Yusoh, 51, menyifatkan pemergian anaknya sebagai ketentuan Ilahi selepas arwah keletihan mengejar tanggungjawab bekerja dan menuntut ilmu.

“Dia sudah penat bekerja. Dalam seminggu memang tidak pernah berehat. Jadi Allah SWT panggil dia. Allah SWT rehatkan dia daripada kesibukan dunia.
“Alhamdulillah, keadaan jenazah juga sempurna, cuma ada sedikit kecederaan di bahagian muka,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Terdahulu, jenazah Syakirah Hanan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Bedah, di sini, pada pukul 12.30 tengah malam tadi. Lebih 1,000 orang hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarhamah.

Menurutnya Mazli, arwah anaknya mengikuti pengajian Diploma Pascasiswazah Pendidikan di Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, UniSZA dengan menghadiri kelas pada setiap Jumaat dan Sabtu.
“Dari Ahad hingga Khamis pula, dia bekerja sebagai guru tadika di sebuah tadika swasta di Batu Buruk.
“Memang tidak ada masa untuk dia berehat. Dia ada beritahu yang dia penat dan kini Allah SWT panggil dia untuk berehat,” katanya lagi.
Semalam, media melaporkan Syakirah Hanan maut di lokasi kejadian selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz ketika membelok ke kanan di simpang empat Jalan Kemajuan sejurus lampu isyarat bertukar hijau.
Allahyarhamah ketika itu dalam perjalanan mendapatkan permit mengajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









