Kelantan The Real Warriors tiada tunggakan gaji musim 2025/26 – MFL
KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan Kelantan The Real Warriors (KTRW) dilaporkan tidak berdepan sebarang tunggakan gaji bagi musim 2025/26 setakat ini.
Menurut MFL, tunggakan gaji pemain pasukan itu ketika ini adalah membabitkan gaji musim 2024/25 di bawah pengurusan pemilik kelab terdahulu.
“MFL sedia maklum berhubung dengan kes tunggakan gaji pemain kelab KTRW di mana kelab berkenaan sudah diarahkan oleh First Instance Body (FIB), Financial Fair Play (FFP) pada 14 November 2025 untuk menyerahkan bukti pembayaran atau pelan pembayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025.
“Selain daripada KTRW, PDRM FC yang mempunyai kes tunggakan gaji bagi musim ini juga diarahkan untuk menyerahkan dokumen FFP pada tarikh akhir berkenaan,” kata MFL dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, MFL juga menyatakan FIB akan membincangkan keputusan berhubung kes tunggakan gaji dua pasukan terbabit dalam masa terdekat.
“Sebarang keputusan berhubung kes tunggakan gaji membabitkan KTRW dan PDRM FC akan dibincangkan dalam mesyuarat FFP FIB dalam masa terdekat ini.
“Bagi kes tunggakan gaji pemain ini, MFL sudah bekerjasama dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi pelaksanaan FFP,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dua bekas pemain KTRW mendakwa pasukan itu masih belum melunaskan tunggakan gaji mereka.
Penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil dan pemain pertahanan Kedah FA, Afzal Akbar mendedahkan mereka masih belum menerima sebarang penyelesaian daripada bekas pasukan mereka itu.
Khatul memuat naik gambar logo pasukan itu dan surat aduan kepada FIB di platform X sementara Afzal pula memohon FIB mengambil tindakan tegas terhadap KTRW seperti dinyatakan dalam kenyataan pada November lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








