Pekerja swasta nikmati cuti umum berganda sempena Hari Thaipusam, Hari Wilayah
KUALA LUMPUR – Pekerja sektor swasta bakal menikmati cuti umum berganda sempena Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2026.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) berkata, Kerajaan Persekutuan sudah mewartakan kedua hari kelepasan am itu pada tarikh berkenaan.
“Kerajaan Persekutuan sudah mewartakan hari kelepasan am bagi tahun 2026 iaitu Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2026.
“Cuti Hari Wilayah Persekutuan adalah cuti yang wajib diberikan oleh majikan sektor swasta yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kepada pekerja sebagaimana peruntukan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tidak boleh diganti.
“Memandangkan cuti Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari Ahad, maka majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai rehat mingguan pekerja hendaklah memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya (Isnin),” kata JTKSM dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, majikan yang memilih cuti perayaan Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am yang dipilih sebagaimana Subseksyen 60D(1)(a) Akta 265, perlu memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya iaitu Selasa memandangkan terdapat pertindihan kedua-dua hari kelepasan am tersebut.
“Majikan juga boleh memberikan pekerja mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti dengan persetujuan pekerja sebagaimana Seksyen 60D(1A).
“Pekerja yang diarah bekerja pada hari kelepasan am layak menerima kadar gaji bagi cuti am seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 60D(3),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








