Berita Semasa

Nahas Elmina: Jenazah rider diserah kepada waris

KLANG – Jenazah penunggang p-hailing, Muhammad Hafiz Mohd Saleh, yang terlibat dalam nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Elmina, Seksyen U16, Shah Alam sudah diserahkan kepada waris, pagi tadi.

Bapa Allahyarham, Muhammad Saleh Othman berkata, jenazah anak sulungnya itu akan terus dibawa untuk dikebumikan di Masjid Al Huda, Kampung Jerung Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata, sebelum itu, jenazah anaknya diuruskan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Jenazah Allahyarham akan dimandi serta dikafankan oleh pihak JAIS dan disembahyangkan di Masjid Ar-Rahimiah Klang sebelum dibawa untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani.

“Insya Allah, jenazah akan dikebumikan hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah Allahyarham ini,” katanya kepda pihak media ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, sebuah pesawat peribadi dari Langkawi menuju ke Subang dilaporkan terhempas di Elmina Central Park pada kira-kira pukul 2.40 petang

Nahas itu mengorbankan 10 individu termasuk dua pengguna jalan raya.

Show More

Related Articles

Back to top button