JENAYAH & MAHKAMAH

Video viral ‘wanita bertudung’ minum minuman keras, dua ditahan – Polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua individu berhubung penularan video yang memaparkan seorang individu bertudung sedang meminum minuman beralkohol di sebuah salun, sehingga mencetuskan kecaman dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mereka yang ditahan merupakan seorang lelaki berusia 24 tahun dan wanita, 22 tahun.

Tambahnya, kedua-dua mereka ditahan di Subang Jaya kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati individu yang memakai tudung dan meminum minuman beralkohol dalam video berkenaan adalah seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kumar, kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau perasaan tidak muhibah, atau bertindak dengan niat jahat atau cara yang memudaratkan perpaduan atas alasan agama.

Beliau menambah, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Kumar menegaskan pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja gagal menghormati sensitiviti agama serta mencetuskan suasana tidak harmoni.

“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan bertanggungjawab, serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan, khususnya yang melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja),” katanya.

Klip berdurasi 28 saat itu dipercayai mula tersebar selepas dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, yang berkongsi tangkap layar daripada akaun media sosial lain.

Hantaran berkenaan menimbulkan kemarahan ramai warga maya, termasuk dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam, dengan pengguna mengecam tindakan individu yang terlibat dalam video tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button