GAYA HIDUPRENCANA

POLYCC harumkan nama negara, ungguli TVET berteras AI di China

KEJAYAAN delegasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di persada antarabangsa membuktikan keupayaan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) Malaysia bersaing secara kompetitif dalam landskap pendidikan global yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penyertaan Malaysia dalam The First Industry–Education Integration AI-Enabled Teaching Design Competition @ Belt & Road and BRICS Competition yang berlangsung di Politeknik Guangdong, wilayah Guangzhou, China baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri apabila POLYCC membawa pulang enam pingat emas, empat perak dan satu gangsa, mengatasi penyertaan pelbagai institusi kemahiran antarabangsa.

Penyertaan Malaysia dalam The First Industry–Education Integration AI-Enabled Teaching Design Competition @ Belt & Road and BRICS Competition yang berlangsung di Politeknik Guangdong, China baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri.

Pencapaian itu bukan hasil usaha singkat, sebaliknya lahir daripada perancangan strategik hampir setahun yang melibatkan kerjasama bersepadu antara Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Pelajar serta Bahagian Koordinasi TVET POLYCC bersama pihak penganjur di China.

Pertandingan berprestij itu menghimpunkan peserta jemputan ASEAN melibatkan 11 wakil dari Malaysia, sembilan dari Vietnam dan seorang dari Indonesia, selain penyertaan institusi pengajian tinggi tempatan China.
Setiap peserta ASEAN dipadankan dengan tenaga pengajar dari institusi kemahiran China, menjadikan kolaborasi rentas negara sebagai teras utama pertandingan.

Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti POLYCC, Dr Riam Chau Mai berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan jabatan itu dalam memperkasa inovasi pengajaran berasaskan AI merentasi pelbagai bidang TVET, di samping memperkukuh hubungan strategik Malaysia–China.

Dr Riam Chau Mai (dua dari kanan) bersama wakil penganjur dari China.

Menurut beliau, pencapaian itu bukan sahaja meningkatkan keterlihatan TVET Malaysia di peringkat global, malah membuktikan keupayaan pensyarah tempatan berkongsi idea dan kepakaran dalam mengintegrasikan AI ke dalam reka bentuk pengajaran yang selari dengan keperluan industri semasa.

Beliau turut menegaskan kesediaan POLYCC untuk memperluas kerjasama strategik dengan China, termasuk pembangunan kurikulum bersama, platform pendidikan digital, peningkatan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat, latihan berasaskan industri serta perkongsian penyelidikan dan inovasi.

“Kerjasama ini mencerminkan semangat pembelajaran bersama, pertumbuhan yang dikongsi dan pembangunan mampan, selari dengan aspirasi Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN–China 2025,” katanya.

Antara kejayaan yang mencuri tumpuan ialah penyertaan Pensyarah Politeknik Ibrahim Sultan, Nor Akashah Kassim yang meraih Anugerah Emas menerusi projek inovasi AI bertajuk The Hotel Front Office Services Course di bawah program Pengurusan Hotel.

Pensyarah Politeknik Ibrahim Sultan, Nor Akashah Kassim berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan tersebut.

Beliau yang digandingkan dengan pensyarah dari Politeknik Guangdong mengakui cabaran perbezaan bahasa, namun ia tidak menjadi penghalang kepada pertukaran idea dan kreativiti.

“Walaupun berdepan kekangan bahasa, kami memanfaatkan aplikasi terjemahan dan teknologi AI untuk berkomunikasi. Idea tetap dapat dikembangkan, khususnya berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran TVET dalam bidang hospitaliti,” katanya.

Menurut Nor Akashah, pengalaman kolaborasi itu membuka perspektif baharu mengenai potensi AI dalam memperkukuh pengajaran praktikal industri perkhidmatan, sekali gus menjadi pengalaman berharga yang padat dengan pembelajaran.

Nor Akashah berkongsi momen pertukaran hadiah dengan pensyarah dari Politeknik Guangdong.

Kejayaan delegasi POLYCC itu sekali gus mengukuhkan kedudukan TVET Malaysia sebagai rakan strategik diyakini di peringkat antarabangsa, khususnya dalam era pendidikan digital dan AI, selain membuka lebih banyak peluang kolaborasi global berimpak tinggi kepada pensyarah dan pelajar.

Sebagai penutup, Dr Riam merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur BRICS dan Jabatan Pendidikan Wilayah Guangzhou atas komitmen serta layanan sepanjang penganjuran pertandingan.

“Kejayaan ini bukan sekadar deretan pingat, sebaliknya simbol keupayaan TVET Malaysia melangkah seiring arus global, memanfaatkan AI dan membentuk tenaga mahir masa depan yang berdaya saing di peringkat dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button