Tiada penalti tahun pertama pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem – LHDN
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memberi jaminan tiada penalti akan dikenakan sepanjang tahun pertama pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 yang akan bermula pada 1 Januari 2026, sebagai langkah memudahkan peralihan pembayar duti kepada sistem baharu itu.
Menurut LHDN, konsesi khas tersebut melibatkan ketiadaan penalti terhadap kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem (BNDS) yang tidak betul atau pemberian maklumat yang tidak tepat, termasuk perkara yang memberi kesan kepada pengenaan duti setem.
Menurut LHDN, tempoh konsesi khas itu berkuat kuasa bagi permohonan penyeteman yang dikemukakan mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
“Pemberian konsesi ini bertujuan sebagai langkah pendidikan dan sokongan peralihan bagi memupuk kesedaran serta menggalakkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pembayar duti,” menurut kenyataan LHDN hari ini.
Tambah LHDN, tempoh berkenaan juga memberi ruang mencukupi kepada pembayar duti untuk memahami prosedur yang ditetapkan, di samping melaksanakan penyeteman sendiri secara elektronik dengan lebih berkesan.
Konsesi khas itu turut terpakai terhadap sebarang kesalahan di bawah Subseksyen 72D(2) Akta Setem 1949 yang dikenal pasti melalui penemuan audit sepanjang tempoh pelaksanaan konsesi berkenaan.
Dalam pada itu, bagi memastikan pelaksanaan STSDS berjalan lancar, sistem e-Duti Setem telah dibuka untuk akses awal kepada pembayar duti menerusi portal MyTax, bagi membolehkan mereka menjalankan pengujian serta membuat persediaan sewajarnya sebelum pelaksanaan penuh bermula.
Sehubungan itu, pembayar duti yang menghadapi sebarang masalah atau memerlukan penjelasan lanjut boleh menghubungi HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau +603-8911 1000 bagi panggilan dari luar negara, selain menggunakan kemudahan HASiL Live Chat serta Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













