SUKAN

Emas pecut berpasukan tutup kempen berbasikal trek negara

BANGKOK – Pasukan berbasikal trek negara menutup kempen Sukan SEA 2025 dengan cemerlang apabila meraih pingat emas dalam acara pecut berpasukan lelaki di Velodrom Hua Mark, Bangkok, semalam.

Gandingan Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena menampilkan prestasi konsisten, selepas mengekalkan strategi berhati-hati pada pusingan kelayakan bagi memastikan mereka layak ke final.

Ridwan berkata, strategi itu membolehkan pasukan mengekalkan momentum sebelum berdepan tekanan maksimum pada final.

“Dalam kelayakan, fokus kami hanya untuk layak ke final. Apabila melihat masa pasukan tuan rumah, kami berbincang dengan jurulatih untuk memburu emas,” memetik BH online.

Fadhil pula berkata, kemenangan itu lebih bermakna selepas gagal menempatkan diri di podium pada hari sebelumnya.

“Saya beri 100 peratus, dan keletihan bertukar menjadi kepuasan kerana dapat beri yang terbaik untuk pasukan,” katanya lagi.

Manakala Akmal berkata, kejayaan itu hasil latihan tersusun serta pengorbanan panjang sepanjang persiapan, termasuk beraksi di trek terbuka yang memberi kelebihan kepada tuan rumah.

“Kami berlatih sejak awal tahun dan semua pengorbanan berbaloi,” katanya lagi.

Kemenangan itu melengkapkan kempen berbasikal trek negara di Bangkok dengan kutipan empat emas dan satu perak, sekaligus menandakan prestasi gemilang kontinjen negara pada temasya kali ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button