BERITA SEMASABISNES & EKONOMIPMX

PM sambut baik penilaian IMF terhadap daya tahan ekonomi Malaysia berdepan cabaran global

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap ekonomi Malaysia yang disifatkan kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar antarabangsa.

Beliau berkata, dalam landskap dunia yang semakin mencabar, keutamaan kerajaan adalah memastikan kestabilan ekonomi bukan sekadar diurus secara bertanggungjawab, malah benar-benar dapat dirasai rakyat melalui peluang pekerjaan yang terjamin, adil serta keyakinan tinggi terhadap masa depan negara.

“Kerajaan MADANI akan terus mengurus kewangan awam secara berhemah dan pada masa sama mempercepatkan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 supaya pertumbuhan yang dibina kukuh, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, IMF memaklumkan Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang ketara meskipun berdepan ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar, disokong oleh penggunaan serta pelaburan domestik yang kukuh, pertumbuhan pekerjaan dan kitaran peningkatan sektor teknologi global.

Menurut institusi kewangan antarabangsa itu, prestasi positif ekonomi negara turut mencerminkan kekukuhan dasar ekonomi apabila pihak berkuasa mengekalkan pendekatan makroekonomi dan kewangan yang berhemat.

IMF turut menyatakan perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia pada Oktober 2025 membantu mengurangkan ketidaktentuan dalam kalangan perniagaan serta pengguna di negara ini.

“Ketahanan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam jangka terdekat, dipacu oleh permintaan domestik yang kekal kukuh,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia menyederhana sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, yang sebahagian besarnya dipengaruhi kesan tarif AS yang lebih tinggi ke atas Malaysia.

Institusi itu turut memberi amaran bahawa risiko kepada pertumbuhan ekonomi cenderung ke arah kemerosotan, terutamanya berpunca daripada permintaan yang perlahan dalam persekitaran ekonomi luaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button