Mangsa banjir meningkat, cecah lebih 14,000 di enam negeri
KUALA LUMPUR – Gelombang banjir yang melanda beberapa negeri sejak beberapa hari lalu terus menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah mangsa meningkat kepada 14,905 orang daripada 4,837 keluarga, setakat 7 pagi ini.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa kini ditempatkan di 110 PPS yang beroperasi di enam negeri.
Daripada jumlah itu, mangsa terdiri daripada 4,895 lelaki, 4,831 wanita, termasuk 1,400 warga emas, 512 orang kurang upaya (OKU), selain 4,735 kanak-kanak dan 444 bayi.
Pahang mencatatkan jumlah mangsa dan PPS tertinggi dengan 82 PPS dibuka di enam daerah iaitu Kuantan, Maran, Rompin, Pekan, Jerantut dan Lipis, melibatkan 13,481 mangsa daripada 4,436 keluarga.
Keadaan sama turut direkodkan di Terengganu apabila 18 PPS diaktifkan di tiga daerah, masing-masing Kemaman (15), Hulu Terengganu (satu) dan Dungun (dua), yang menempatkan seramai 802 mangsa daripada 247 keluarga.
Di Kelantan, sebanyak empat PPS dibuka di Gua Musang (satu) dan Kuala Krai (tiga), membabitkan 180 mangsa daripada 45 keluarga.
Sementara itu, Johor merekodkan 356 mangsa daripada 93 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Mersing, diikuti Selangor dengan 47 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah PPS di Gombak, serta Sarawak melibatkan empat mangsa daripada satu keluarga di sebuah PPS di Miri.
Dalam perkembangan berkaitan, Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan 11 sungai di Pahang berada pada paras bahaya, manakala masing-masing satu sungai di Kelantan dan dua sungai di Sarawak turut mencatatkan bacaan sama.
Antara stesen terjejas di Pahang ialah Sungai Pahang di Jerantut Feri, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut, Sungai Belat di Sri Damai, Sungai Kuantan di Kuantan By Pass, Sungai Soi di Jalan Pekan, Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut, Sungai Lepar di Jam Gelugor, Kuantan, Sungai Pahang di Waterfront, Bera, Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran, Sungai Keratong di Kampung Rekoh, Rompin serta Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.
Di Sarawak, paras bahaya direkodkan di Marudi dan Long Teru, Miri, manakala di Kelantan melibatkan Sungai Lebir di Kuala Tualang, Kuala Krai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








