Jawatan Menteri Wilayah satu tanggung jawab besar – Hannah Yeoh
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyifatkan pelantikan beliau menggalas jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebagai satu tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan dengan “komitmen penuh, integriti dan keazaman”.
Beliau dalm satau hantaran di akaun Facebook miliknya turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan serta berikrar untuk mengamalkan tadbir urus yang telus dan berteraskan rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),” katanya.
Yeoh berkata, pengalaman beliau sebelum ini berkhidmat bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membentuk pemahamannya terhadap nilai perkhidmatan awam, termasuk integriti, disiplin dan kepimpinan yang berfokuskan kebajikan rakyat, yang akan terus beliau pertahankan di bawah kepimpinan Anwar.
Kongsi Hannah, sebagai Ahli Parlimen Segambut, beliau memahami cabaran serta aspirasi penduduk Wilayah Persekutuan dan komited untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan, khususnya Ahli-ahli Parlimen dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Merekalah yang mewakili suara rakyat dan suara ini mesti didengari dalam setiap proses penggubalan dasar,” katanya lagi.
Beliau seterusnya berkata, keutamaan beliau kini merangkumi tadbir urus yang telus, penambahbaikan perkhidmatan awam asas, pembangunan mampan, perlindungan kawasan rekreasi serta usaha mengurangkan kejadian banjir.
Semalam, Hannah dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang digugurkan daripada jemaah Kabinet.
Dalam hantaran sama, Hannah turut berterima kasih kepada semua pegawai kementerian, badan sukan dan pertubuhan belia atas sokongan mereka ketika beliau menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2022.
Beliau menyorot beberapa inisiatif yang diperkenalkan sepanjang tempoh perkhidmatannya, termasuk caruman KWSP dan PERKESO untuk atlet podium, program “Road to Gold”, inisiatif pembangunan sukan akar umbi serta pembaharuan dasar belia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








