Tutup aib pasangan di media sosial, asas penting bina keluarga sakinah – Mohd Na’im
PUTRAJAYA – Pembinaan keluarga sakinah yang berteraskan adab, saling menghormati dan menjauhi pendedahan aib pasangan di media sosial perlu dijadikan asas utama dalam usaha membentuk masyarakat MADANI yang seimbang antara pembangunan duniawi dan nilai akhirat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keharmonian institusi keluarga khususnya hubungan suami isteri yang beradab merupakan tunjang kepada kestabilan sosial dan ketahanan negara.

Justeru, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena kehilangan adab dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila menggunakan platform media sosial termasuk kecenderungan membuka aib pasangan sendiri.
“Kita lihat hari ini, seseorang boleh kelihatan beradab di dunia nyata, tetapi apabila berada di media sosial, adab dan kelembutan itu seolah-olah hilang.
“Islam mengajar kita untuk menutup aib, bukan menyebarkannya, apatah lagi apabila melibatkan hubungan suami isteri,” katanya.
Beliau menegaskan, penggunaan media sosial untuk mengaibkan pasangan bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah rumah tangga malah berpotensi merosakkan institusi keluarga serta memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Penaja dan Rakan Strategik serta Penutupan Program Dakwah Negara 2025 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata, pendekatan dakwah hari ini tidak boleh lagi sekadar menumpukan kepada jumlah program semata-mata, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada kualiti dan impak, terutama dalam mendepani cabaran penggunaan media sosial yang semakin mencabar nilai adab dan akhlak masyarakat.
“Bagi perancangan tahun 2026, kita tidak lagi mahu melihat kepada kuantiti semata-mata tetapi kualiti program yang benar-benar berkesan.
“Walaupun jumlahnya sedikit, namun impaknya besar dan mampu membentuk masyarakat yang beradab,” katanya.
Mohd Na’im berkata, sepanjang pelaksanaan Program Da’wah Negara 2025, lebih 3,000 program telah berjaya dianjurkan di seluruh negara hasil kerjasama pelbagai pihak sejak 2020 hingga 2025.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan dakwah pada masa hadapan perlu diperluas merangkumi pembentukan keluarga sakinah, bukan sekadar fokus kepada individu dengan melibatkan suami, isteri dan komuniti setempat.

Menurutnya, institusi agama termasuk Jabatan Agama Islam melalui unit perundingan keluarga akan terus memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat, selain membentuk perantara dakwah di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha menangani isu sosial termasuk yang melibatkan media sosial dan kelompok berisiko memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk YADIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ibu bapa serta masyarakat secara menyeluruh.
“Ini bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Apabila semua institusi dan masyarakat memainkan peranan masing-masing, Insya-Allah kita mampu mengurangkan masalah sosial dan membentuk masyarakat yang lebih beradab serta sejahtera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







