BERITA SEMASA

Muhyiddin nafi dakwaan Dr Mahathir, nafi curi wang parti

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau mencuri wang parti dan menyimpannya di rumahnya.

Presiden BERSATU itu berkata, tuduhan liar itu berbentuk sangkaan yang amat tidak berasas sama sekali.

“Saya tidak pernah mencuri wang parti. Semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun parti yang diurus secara telus oleh bendahari agung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan sedemikian dibuat berkemungkinan kerana beliau mendapat maklumat yang tidak benar daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sebagai seorang negarawan, beliau sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada saya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap saya.

“Dalam banyak pertemuan saya dengannya, beliau tidak pernah membangkitkan perkara ini di hadapan saya.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah ke atas diri saya.

“Walau bagaimanapun saya tetap menghormati Dr Mahathir sebagai orang tua. Saya sendiri telah menyokong usaha-usaha beliau untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu dan hubungan kami adalah akrab.

“Oleh yang demikan, saya tidak berhasrat untuk mengheret beliau ke mahkamah,” katanya.

Semalam tular rakaman video dalam satu pertemuan Dr Mahathir bersama ARMADA Johor di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 10 Disember lalu di mana bekas Perdana Menteri itu mendakwa Muhyiddin mahu jadi pemimpin nombor satu negara bagi mengelakkan daripada dipenjara.

Dr Mahathir turut mendakwa, Ahli Parlimen Pagoh itu mencuri duit sumbangan kepada parti PN dan didakwa disimpan di kediamannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button