PENDAPATRENCANA

Takaful perjalanan: Perlindungan penting ketika musafir, berdepan musibah

SETIAP kali tibanya bulan November atau Disember, rakyat Malaysia mula merancang percutian sebagai penghargaan kepada penat lelah mereka sepanjang tahun.

Musim cuti sekolah, promosi tiket penerbangan serta cuaca yang lebih nyaman menjadikan akhir tahun sinonim dengan aktiviti melancong.

Sama ada di dalam negara seperti Sabah, Langkawi dan Terengganu mahupun ke luar negara seperti Thailand, Jepun, Korea, Turkiye dan Eropah.

Namun dalam keterujaan menyusun itinerari dan mencari tawaran menarik, satu aspek kritikal masih sering dipinggirkan iaitu takaful perjalanan.

Percutian
Memilih destinasi percutian ke luar negara perlu seiring dengan memiliki insurans perjalanan bagi menjamin keselamatan. – Foto Hiasan

Ramai melihatnya sebagai pilihan tambahan sedangkan hakikatnya ia adalah keperluan penting.

Related Articles

Lebih-lebih lagi, insiden banjir besar yang melanda Hatyai baru-baru ini sepatutnya membuka mata kita bahawa risiko ketika melancong boleh berlaku pada bila-bila masa, di mana sahaja tanpa mengira destinasi yang dianggap ‘selamat’.

Insiden di Hatyai itu menyaksikan ramai pelancong terperangkap, jadual penerbangan tergendala, hotel dinaiki air dan kenderaan tidak dapat digunakan.

Ramai pelancong Malaysia terkesan dan sebahagian mereka terpaksa menanggung kos tambahan kerana tidak memiliki perlindungan perjalanan.

Situasi sebegini mengingatkan kita bahawa kejadian luar jangka tidak memilih waktu dan dalam dunia perjalanan moden, keselamatan serta kesediaan adalah keutamaan.

Dalam konteks ini, takaful perjalanan bukan sekadar pilihan; ia adalah benteng kewangan dan keselamatan yang semakin relevan.

Perjalanan hari ini disertai pelbagai risiko yang jarang dibayangkan terlebih dahulu.

Selain bencana alam seperti banjir di Hatyai, pelancong juga berdepan kemungkinan kos rawatan perubatan yang tinggi, kemalangan, kehilangan bagasi, kecurian dokumen serta pembatalan atau kelewatan penerbangan.

Banjir Hatyai
Insiden rakyat Malaysia yang terperangkap dalam situasi banjir besar di Hatyai, Thailand baru-baru ini perlu diambil iktibar.

Satu insiden kecil boleh menjejaskan seluruh perancangan percutian dan mengakibatkan kerugian besar.

Takaful perjalanan hadir sebagai penyelamat, menyediakan perlindungan meliputi rawatan kecemasan, penginapan hospital, pemindahan perubatan, pampasan kehilangan bagasi, perlindungan pasport hilang serta elaun jika penerbangan tergendala.

Di negara-negara seperti Korea, Jepun atau Australia, rawatan ringkas pun boleh mencecah RM10,000 manakala rawatan kecemasan yang serius mampu menjangkau RM100,000.

Tanpa perlindungan, kos sebegini menjadi beban yang berat.

Perlu diingatkan, ketika melancong, seseorang tidak hanya membawa diri tetapi turut membawa tanggungjawab terhadap keluarga.

Jika berlaku kecemasan di luar negara, ahli keluarga di Malaysia bukan sahaja bimbang malah mungkin terpaksa mengumpul dana dalam masa singkat untuk membantu.

Dengan adanya takaful perjalanan, segala bentuk bantuan termasuk sokongan kecemasan 24 jam dan urusan logistik dapat dilakukan dengan lebih teratur dan profesional.

Ia mengurangkan tekanan kepada pengembara serta keluarga di tanah air.

Walaupun artikel ini memberi perspektif umum, penting untuk difahami bahawa mengambil takaful perjalanan turut selari dengan prinsip Maqasid Syariah.

Percutian
Percutian bersama ahli keluarga memerlukan persediaan yang rapi termasuk insurans perjalanan jika berlaku sebarang musibah tidak dijangka. – Foto Hiasan

Dalam aspek menjaga nyawa (Hifz al-Nafs), perlindungan ini memastikan pengembara mendapat rawatan tanpa halangan kewangan.

Prinsip menjaga harta (Hifz al-Mal) pula menekankan keperluan mengelakkan kerugian dan pembaziran manakala menjaga kesejahteraan mental (Hifz al-‘Aql) menuntut manusia mengurangkan tekanan dan kebimbangan ketika bermusafir.

Justeru, perlindungan takaful bukan sahaja keputusan bijak malah selari dengan prinsip syariah yang menekankan keselamatan, ketenangan dan pengurusan risiko.

Tanggapan bahawa ‘kalau saya sihat, saya tak perlukan takaful’ adalah pandangan yang mengundang risiko.

Pelbagai insiden perjalanan bukan berkaitan kesihatan semata-mata; ia meliputi terseliuh semasa bersiar-siar, alahan makanan, perubahan cuaca ekstrem, kes kehilangan pasport atau kelewatan penerbangan yang menyebabkan kos tambahan penginapan.

Banjir di Hatyai tempoh hari adalah bukti jelas bahawa risiko perjalanan boleh datang dalam bentuk yang sama sekali tidak diduga dan melibatkan kerugian besar.

Apa yang menghairankan ialah kos takaful perjalanan sebenarnya sangat berpatutan dan jauh lebih murah daripada harga sebuah beg bagasi.

Untuk perjalanan domestik, perlindungan bermula sekitar RM10 hingga RM20. Untuk perjalanan luar negara pula, kosnya sekitar RM20 hingga RM200 bergantung destinasi dan tempoh perjalanan.

Dengan kos serendah ini, manfaatnya jauh lebih besar dan mampu menyelamatkan pengguna daripada kerugian ribuan ringgit.

Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi masyarakat berdaya tahan, celik risiko dan bersedia menghadapi perubahan dunia.

Tetapi perubahan itu bermula dengan tindakan individu. Dalam konteks perjalanan, tindakan itu adalah memastikan kita dilindungi.

Dunia mungkin tidak dapat menjamin keselamatan kita tetapi takaful perjalanan boleh memulihkan keseimbangan itu.

Kerana pada akhirnya, musafir yang paling bersedia bukanlah yang membawa beg paling penuh tetapi yang membawa perlindungan yang paling penting.

Oleh DR SYARYANTI HUSSIN & PROF MADYA DR HASNIZAM HASHIM

Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Profesor Madya, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dr Syaryanti Hussin dan Prof Madya Dr Hasnizam Hashim
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button