Pesawat ringan mendarat cemas di lebuh raya, pemandu kenderaan cedera
FLORIDA – Sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan kecemasan di laluan selatan Lebuh Raya I-95 sebelum merempuh sebuah kereta dalam insiden yang berlaku sekitar 5.45 petang, kelmarin.
Menurut laporan Fox 13 News yang memetik Florida Highway Patrol (FHP) serta Jabatan Bomba Brevard County, pesawat jenis Beechcraft 55 yang mempunyai dua enjin itu membawa dua kru iaitu seorang juruterbang dan seorang penumpang lelaki berusia 27 tahun.
Kedua-dua mereka yang dalam penerbangan latihan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam video rakaman dashcam yang tular di X, pesawat berkenaan dilihat memasuki laluan lebuh raya sebelum merempuh sebuah kereta Toyota Camry.
Kemalangan itu menyebabkan mangsa seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengumumkan punca insiden. Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) akan mengetuai siasatan berhubung nahas udara itu, manakala FHP akan melakukan siasatan pelanggaran melibatkan kenderaan.
Pada hari sama, satu lagi pesawat ringan, Cessna 172, turut melakukan pendaratan cemas di Jacobs Road, DeLand, kira-kira 46 batu dari Orlando.
Dua individu yang berada dalam pesawat itu dihantar ke hospital selepas diselamatkan dalam keadaan sedar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








