BERITA SEMASA

Program Rancakkan MADANI raih lebih 500,000 pengunjung

PUTRAJAYA – Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 mendapat sambutan luar biasa apabila 502,804 pengunjung direkodkan sepanjang tiga hari penganjurannya di Dataran Putrajaya, yang berakhir semalam.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu turut mencatat pelbagai pencapaian ketara termasuk kutipan jualan MADANI sebanyak RM2.15 juta merangkumi jualan usahawan, RAHMAH, agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia serta trak makanan.

Program Rancakkan MADANI raih lebih 500,000 pengunjung
Foto – Japen

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program yang bermula pada Jumaat itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat menilai pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun ini, selain merasai sendiri pelbagai perkhidmatan kerajaan yang ditawarkan.

Program Rancakkan MADANI raih lebih 500,000 pengunjung
Foto – JAPEN

“Tahniah kepada semua atas sokongan padu dan kejayaan menjayakan program ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini, semalam.

Inisiatif Padanan Perniagaan pula merekodkan nilai melebihi RM400,000, manakala kaunter kompaun terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM134,473 secara keseluruhan.

Selain itu, seramai 1,252 pencari kerja menerima surat tawaran pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka yang dijalankan sepanjang program.

Program Rancakkan MADANI raih lebih 500,000 pengunjung
Foto Japen

Majlis penutup yang disempurnakan Perdana Menteri, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri.

Program Rancakkan MADANI raih lebih 500,000 pengunjung
Semasa majlis pelancaran dan penutup Program Rakyatkan MADANI – Foto JAPEN

Program berkenaan mengetengahkan lebih 500 pengisian meliputi lapan segmen utama seperti Belia MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Produk Rakyat MADANI, Ukhuwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Kepengerusian ASEAN serta Diplomasi MADANI.

Beberapa inisiatif baharu turut diumumkan termasuk Sahabat Penggerak MADANI, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan ARPA dan Buku Malaysia Merdeka.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, agensi dan petugas yang menjayakan program berkenaan serta menzahirkan terima kasih kepada rakyat atas sokongan memberangsangkan yang mencerminkan keyakinan berterusan terhadap usaha pembaharuan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button