Konvokesyen UPNM: Saintis tentera raih tiga anugerah akademik tertinggi
KUALA LUMPUR – Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini menyaksikan detik bersejarah apabila seorang pegawai tentera meraih anugerah akademik tertinggi bagi peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah, kesemuanya dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kapten Ts Dr. Thachnatharen Nagarajan, 30, yang juga saintis ketenteraan menyifatkan perjalanan akademiknya sejak 2013 sebagai sesuatu yang “luar biasa” kerana perlu melalui latihan ketenteraan penuh disiplin serentak dengan pengajian.
Katanya, pengalaman itu membentuk daya tahan emosi, pengurusan masa serta karakter yang membolehkannya berfikir secara lebih kritis dan tersusun, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan akademik serta penyelidikannya.
Menurut beliau, latihan dan disiplin ketenteraan yang diterapkan UPNM menjadi tunjang kejayaannya menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

Beliau berkata, penyelidikan itu termasuk inovasi minyak enjin kereta kebal berasaskan nanoteknologi, yang kini telah dipatenkan dan menunggu proses aplikasi dalam penggunaan sebenar pertahanan negara.
“Penyelidikan itu bukan sahaja mengurangkan geseran serta haba enjin, malah mampu menjimatkan kos penyelenggaraan kerana minyak enjin tidak perlu ditukar sekerap biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Ke-15 UPNM yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di ibu negara, hari ini.
Turut hadir, Pro Canselor UPNM, Tan Sri Dr Mohd Anwar Mohd Nor; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Mengulas lanjut, Thachnatharen yang kini bertugas sebagai pegawai di Rejimen 508, Kem Rasa, Seremban, dengan kepakaran dalam penyelidikan ketenteraan berkata, beliau telah menghasilkan lebih 25 jurnal berindeks dan beberapa paten dalam bidang nanoteknologi.
“UPNM bukan universiti biasa. Kami mendapat dua ilmu serentak akademik dan ketenteraan yang membentuk kami menjadi graduan paling sempurna dari segi disiplin, kepimpinan dan cara membawa diri,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan graduan muda, Pegawai Kadet Leong Jing En, 23, turut mencuri perhatian apabila beliau menerima Anugerah Pingat Emas Canselor bagi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian.
Beliau yang memulakan pengajian pada 2021 berkata, pengalaman sebagai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) banyak membentuk disiplin dan kepimpinan dalam dirinya.
Leong berkata, minat mendalam terhadap bidang ketenteraan mendorongnya membuat permohonan melalui UPU sebelum terpilih sebagai pegawai kadet.
Beliau juga mahu menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda, khususnya kaum Cina, untuk menyertai tentera.
“Nak berkhidmat kepada negara tidak kira kaum. Saya rakyat Malaysia dan saya mahu memberi bakti,” tegasnya.
Beliau mengakui keluarganya pada awalnya kurang bersetuju kerana bimbang dengan cabaran kerjaya ketenteraan, namun kejayaannya sepanjang empat tahun membuktikan bahawa profesion beruniform bukan kerjaya rendah nilai seperti disangka sesetengah pihak.
“Nasihat saya kepada anak muda ialah fikir apa yang kita boleh kembalikan kepada negara. Jika hati betul, niat betul, sesiapa pun boleh berjaya dalam tentera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








