BERITA SEMASA

KPM digesa ambil tindakan tegas terhadap guru terbabit aktiviti songsang

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana guru yang terbabit dalam sebarang salah laku yang menjejaskan imej dan kredibiliti profesion perguruan.

Menurut Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sobri Yusuf, pihaknya memandang serius laporan mengenai penahanan individu termasuk seorang guru oleh pihak berkuasa dalam operasi bersepadu kelmarin.

Beliau menegaskan, profesion perguruan merupakan amanah besar yang perlu dijaga dengan penuh integriti, berakhlak mulia serta sentiasa mematuhi undang-undang negara.

“Sebarang salah laku yang mencemarkan nama baik profesion ini tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, di sini, ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang.

Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata, perbuatan hubungan sejenis adalah satu perbuatan yang jelas dilarang dan dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

“Perbuatan itu bukan sahaja bertentangan dengan fitrah manusia, malah mencemarkan maruah diri, institusi keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

“Justeru, warga pendidik yang terbabit dalam perbuatan sedemikian telah mencemarkan kesucian profesion guru yang sepatutnya menjadi contoh teladan kepada anak-anak bangsa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, KGMMB menggesa warga pendidik sentiasa menjaga tingkah laku dan mematuhi etika profesion sebagai pendidik yang menjadi contoh kepada masyarakat, khususnya kepada generasi muda yang sedang dibimbing.

“KGMMB komited untuk terus bekerjasama dengan pihak KPM dan semua agensi berkaitan dalam memastikan profesion perguruan kekal dihormati, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur yang boleh mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button