Ronaldo disahkan layak beraksi Piala Dunia 2026
LISBON – Portugal boleh menarik nafas lega apabila Cristiano Ronaldo disahkan layak beraksi pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 selepas FIFA menggantung sebahagian hukuman kad merah yang diterimanya baru-baru ini.
Perkembangan itu sekali gus membuka ruang buat bintang tersebut meneruskan misi penampilan keenam di pentas dunia.
Penyerang berusia 40 tahun itu sebelum ini dilayangkan kad merah ketika Portugal tewas 0-2 kepada Republik Ireland di Dublin pertengahan bulan ini selepas menyiku Dara O’Shea, sekali gus menyaksikannya dibuang padang buat kali pertama dalam 226 penampilan antarabangsa.
FIFA menjatuhkan hukuman tiga perlawanan ke atas Ronaldo, namun dua daripadanya digantung manakala satu lagi telah dipenuhi ketika Portugal mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia menentang Armenia.
“Selaras Artikel 27 Kod Disiplin FIFA, pelaksanaan dua perlawanan baki digantung di bawah tempoh percubaan selama setahun.
“Sekiranya Cristiano Ronaldo melakukan kesalahan serupa dalam tempoh percubaan, penggantungan disiplin akan terbatal secara automatik dan dua perlawanan baki perlu dipenuhi serta-merta ketika aksi rasmi Portugal seterusnya,” menurut kenyataan FIFA.
Ronaldo yang memegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa dengan 143 gol, kini memburu penampilan keenam di Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada pada musim panas depan.
Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu kini beraksi bersama Al-Nassr di Arab Saudi.
Walaupun belum pernah menjulang Piala Dunia, Ronaldo pernah mengemudi Portugal meraih gelaran Euro 2016.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








