Maritim Malaysia selamatkan lima pemancing dilapor hilang
PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan lima pemancing yang sebelum ini dilaporkan hilang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kumpulan itu keluar menangkap ikan pada 23 November lalu sebelum mereka dilaporkan tidak pulang ke pangkalan dan gagal dihubungi.

Menurut Abdul Muhaimin, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima laporan awal daripada seorang ahli keluarga mangsa mengenai kehilangan pemancing beserta bot mereka itu.
“Pada pukul 12.50 tengah hari semalam, komuniti maritim melaporkan penemuan sebuah bot fiber terbalik kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam, dipercayai bot dinaiki lima mangsa berkenaan.
“Susulan (penemuan) itu, dua aset Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi untuk pencarian awal, tambah beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru kemudiannya mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pukul 1.00 petang semalam dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti nelayan Kampung Telok Nipah, Pelabuhan Klang.
Sekitar pukul 4.47 petang semalam, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat daripada seorang individu yang memaklumkan lima mangsa tersebut ditemui di sangkar ikan di perairan Pulau Ketam.
“Kesemua mangsa yang terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia berumur 23 hingga 57 tahun ditemui dalam keadaan selamat, dengan dua daripadanya mengalami kecederaan di kaki,” katanya lagi.
Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke jeti nelayan Kampung Telok Nipah dengan bot PENGGALANG 31.
Salah seorang mangsa memaklumkan, insiden tersebut berlaku apabila bot dinaiki mereka terbalik kerana cuaca buruk dan mereka berenang ke sangkar ikan berhampiran bagi menyelamatkan diri.
Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk tindakan lanjut dan Operasi CARILAMAT ditamatkan pada pukul 6.30 petang semalam,” katanya lagi.
Maritim Malaysia sekali lagi mengingatkan orang awam supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut dengan mengutamakan pemakaian jaket keselamatan dan pemantauan cuaca.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








