KSN arah NADMA pertingkat gerak kerja bencana di negeri terjejas akibat banjir
PUTRAJAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diarahkan mempertingkat koordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di negeri-negeri yang terjejas banjir, bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan.
Menurut Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim, perkara itu diutarakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, selepas meninjau koordinasi pengurusan bencana dan operasi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Pulau Meranti, Puchong, pagi tadi.
“NADMA diminta bekerjasama dengan jabatan pendidikan negeri (JPN) bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir, boleh ke pusat peperiksaan.
“Penyelarasan dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (akan dilaksanakan) bagi menyediakan pengangkutan untuk membawa calon ke pusat peperiksaan atau memindahkan mereka ke asrama bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Meor Ismail berkata, Shamsul Azri turut meminta NADMA memastikan pengurusan bencana diselaraskan dengan baik bersama agensi berkaitan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17.
Beliau berkata, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah diaktifkan agar penyelarasan pengurusan bencana banjir dapat diuruskan dengan teratur serta berkesan.
Meor Ismail berkata, NADMA menggerakkan 10 anggota pasukan peninjau daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) dengan membawa aset meliputi dua lori, kenderaan pacuan empat roda serta bot bagi membantu operasi menyelamat.
Pada masa ini, beliau berkata, semua agensi tindak balas termasuk APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi berkaitan berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.
“NDCC juga beroperasi 24 jam untuk memantau dan menyelaras maklumat serta memastikan amaran awal disampaikan tepat pada masanya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















