BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hujan lebat dijangka berterusan di Hatyai, ribuan pelancong Malaysia masih terkandas

KUALA LUMPUR – Hujan lebat dijangka berterusan sehingga beberapa hari di Hatyai dan beberapa bahagian di wilayah Songkhla, Thailand menyukarkan operasi menyelamat kira-kira 4,000 pelancong Malaysia yang dilaporkan masih terkandas setakat petang semalam.

Menurut laporan Bangkok Post, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan berterusan sebelum reda pada minggu ini.

Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand memaklumkan sebanyak 10 wilayah di selatan negara itu terjejas banjir, menjejaskan hampir 1.47 juta penduduk.

Selain Songkhla, daerah Trang, Satun, Yala dan Narathiwat turut dilanda banjir, manakala keadaan di Surat Thani dan Krabi dilaporkan semakin pulih.

Dalam kenyataan semalam, Wisma Putra menegaskan pihaknya terus memantau rapat situasi banjir di Hatyai dan Songkhla yang menyebabkan gangguan kepada pengangkutan, bekalan elektrik, internet dan bekalan air.

Setakat ini, semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dilaporkan selamat.

Kebanyakan mereka menginap di hotel bertingkat walaupun sebahagiannya berdepan gangguan bekalan elektrik sementara serta akses makanan terhad.

Wisma Putra berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla turut mengaktifkan pasukan operasi bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas atau memerlukan sokongan segera.

“Konsulat Jeneral kekal berhubung dengan pihak berkuasa tempatan, hotel serta kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas bagi memastikan bantuan dapat diselaras dengan berkesan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button