POLITIK

Amirudin cadang Nurul Izzah ganti beliau sebagai MB Selangor

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, mendedahkan beliau telah mencadangkan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebagai calon yang sesuai untuk menggantikannya menerajui pentadbiran negeri itu sekiranya beliau berundur.

Perkara itu diakui Amirudin ketika muncul sebagai tetamu dalam program audio Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Menurut Amirudin, cadangan tersebut telah disuarakan secara langsung kepada Nurul Izzah dan keputusan kini terserah kepada beliau.

“Saya boleh katakan itu mungkin satu formula yang baik untuk letakkan Puan Nurul Izzah supaya tidak ada persepsi atau stigma berkaitan nepotisme.

“Secara jujurnya, saya sudah kemukakan kepada Izzah sendiri, terpulang kepada beliau untuk ambil cadangan itu atau tidak,” memetik OMM online.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada terdapat kemungkinan Nurul Izzah akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada pilihan raya negeri akan datang, sekali gus membuka laluan untuk dilantik sebagai Menteri Besar jika menang.

Dalam masa sama, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memaklumkan beliau bersedia untuk memikul amanah di peringkat Persekutuan sekiranya diperlukan.

“Kalau tanya saya adakah sudah bersedia? Ya, saya sudah mempertimbangkan untuk ke Persekutuan,” katanya lagi.

Cadangan Amirudin itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan Selangor dengan menampilkan tokoh muda berpengalaman, di samping mengelakkan persepsi negatif terhadap parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button