KBS cadang henti sementara dana kepada FAM
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya tiada dana tambahan disalurkan kepada pasukan bola sepak kebangsaan buat sementara waktu sehingga keyakinan terhadap pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipulihkan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan, khususnya dalam memastikan pembangunan atlet tempatan terus menjadi keutamaan.
“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, semalam.
Sebelum ini, dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang melibatkan FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mencetuskan perbahasan hangat di Dewan Rakyat, dengan ahli parlimen kedua-dua blok sepakat mempersoalkan reputasi negara susulan isu tersebut.
Dalam penggulungan itu, Hannah turut mengemukakan cadangan kedua iaitu mewajibkan mana-mana permohonan naturalisasi atlet atau pemain oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN).
“Melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) atau program akar umbi, dana sudah dibelanjakan untuk melahirkan atlet pembangunan yang berkualiti. Jadi MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak,” katanya.
Menurut Hannah, MSN pernah mengadakan sesi townhall bersama kelab bola sepak profesional pada November tahun lalu, di mana perancangan melibatkan pemain naturalisasi telah dimaklumkan lebih awal.
“KBS dan MSN tidak mempunyai kuasa untuk menghalang usaha mereka kerana ia dibenarkan FIFA. Jadi kalau mereka mahu pemain warisan, mereka perlu mengikuti proses yang betul supaya tiada lagi isu kontroversi seperti ini.
“Ini adalah dua cadangan awal yang saya boleh nyatakan dan KBS akan mengambil langkah berkenaan buat masa ini sebelum siasatan diperincikan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















