POLITIK

Penerimaan rakyat Sabah terhadap PH amat positif – Nurul Izzah

PENAMPANG – Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) serta calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat sangat positif.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lepas, serta fokus kepada pengiktirafan ekonomi negeri sebelum kempen pilihan raya bermula, merupakan antara faktor yang membawa reaksi positif penduduk, lapor BERNAMA.

Beliau yang turut menyifatkan kebanyakan rakyat Sabah sebagai amat peramah berkata, ia seterusnya mencerminkan keterbukaan rakyat untuk menilai tawaran PH semasa berkempen dengan berdasarkan fakta dan rekod pelaksanaan setakat ini.

“Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon di sini hari ini, yang turut disertai calon PH, Remysta Jimmy Taylor.

Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR menambah, komitmen dan khidmat parti kepada rakyat tidak terhenti selepas tamat kempen.

“Selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat) dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang kerana kita tahu, bukan semua boleh diselesaikan 24 jam,” katanya lagi.

Dalam kunjungan hari ini, Nurul Izzah meluangkan masa lebih sejam beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang bergambar serta merakam video sebagai kenangan.

Peniaga dan pengunjung juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul Izzah, hari ini.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November manakala hari mengundi awal adalah pada 25 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button