Anwar dipandu sendiri rakan sejawat, kagum pembangunan teknologi Ethiopia
ADDIS ABABA – Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra kerajaan Ethiopia selepas beliau dipandu sendiri rakan sejawatnya sebaik tiba di negara berkenaan.
“Sejurus tiba di Addis Ababa, saya dipandu sendiri oleh PM Dr Abiy Ahmed Ali ke Muzium Sains Ethiopia yang mempamerkan sejarah pembangunan sektor teknologi dan AI yang dipacu kerajaan pimpinan beliau.
“Alhamdulillah, saya dan delegasi teruja dengan mercu pembangunan yang dicapai Ethiopia,” kata Anwar melalui hantaran di media sosial awal pagi tadi.
Perdana Menteri kemudian dibawa melawat ke Friendship Park yang turut menempatkan zoo dan arkib sejarah kenegaraan Ethiopia selain menjadi pusat riadah dan rekreasi.

“Kemesraan yang ditonjolkan sangat dihargai tatkala kita berusaha untuk merapat serta meluaskan peluang serta potensi negara bersama Ethiopia,” ujarnya.
Anwar turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.
Lawatan tiga hari Anwar ke negara yang mendapat julukan Tanduk Afrika itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















