Lelaki menyamar polis ditahan
IPOH – Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis bagi mendapatkan sogokan wang berkaitan kesalahan trafik mengundang padah apabila dia ditahan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisoner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan susulan kejadian tular di hadapan sebuah restoran di Taman Ipoh Timur Baru, Bercham, di sini.
Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan mendapati suspek menahan mangsa dengan mendakwa mangsanya melakukan kesalahan ubah suai motosikal sebelum meminta wang RM300 sebagai sogokan bagi mengelak tindakan saman diambil.
“Mangsa yang curiga kemudian menghubungi rakannya selain membuat laporan polis. Suspek kemudian berjaya ditahan bersama beberapa barangan yang digunakan untuk tujuan penyamaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara barangan yang dirampas daripada suspek termasuk ves pantul cahaya bertulis ‘bike resque’, topi dan kasut berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua motosikal Yamaha Y15ZR, walkie talkie serta beberapa pelekat berlogo rasmi PDRM.
Berdasarkan video tular itu, suspek dilihat yang memakai baju T tertera logo PDRM dengan tulisan JSPT iaitu akronim kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM dengan seluar seakan polis trafik.
Menerusi video itu, sewaktu disoal oleh perakam video dia daripada daerah pentadbiran polis yang mana, suspek mendakwa dia kononnya anggota polis bantuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













