BERITA SEMASALUAR NEGARA

Taufan Melissa ragut lebih 30 nyawa, landa teruk Kepulauan Caribbean

PORT-AU-PRINCE – Taufan Melissa yang mengganas di wilayah Caribbean sejak Selasa lalu mencetuskan kemusnahan besar apabila lebih 30 orang terbunuh di seluruh rantau itu, termasuk 25 mangsa di Haiti dan lapan di Jamaica, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dibadai ribut dan banjir.

Melissa yang dikategorikan sebagai taufan Kategori 5 paling kuat pernah melanda Jamaica, membadai negara pulau itu dengan kelajuan angin mencecah 298 kilometer sejam, menurut laporan berita antarabangsa.

Ketika memasuki wilayah Jamaica pada Selasa, taufan berkenaan menenggelamkan kawasan pertanian utama di St. Elizabeth, meranapkan bumbung rumah dan memutuskan bekalan elektrik di hampir 77 peratus kawasan negara itu.

Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness berkata, kerosakan akibat taufan tersebut dianggarkan mencecah AS$22 bilion (RM104 bilion) dan proses pemulihan dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

Laluan Taufan Melissa yang dikategorikan sebagai ribut Kategori 5 dengan kelajuan angin mencecah 300 km sejam.

“Ia pengalaman paling menakutkan sepanjang hidup saya. Pada satu ketika, kaca jendela seperti ditembusi peluru berpandu,” kata seorang petugas di Hospital Black River yang terpaksa bekerja dalam kegelapan untuk merawat pesakit ketika ribut melanda.

Walaupun tidak dilanda secara langsung, Haiti turut mengalami kesan buruk apabila hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan sungai La Digue di bandar pantai Petit-Goâve melimpah dan menenggelamkan ratusan rumah.

Pihak berkuasa negara itu mengesahkan sekurang-kurangnya 25 mati, termasuk 10 kanak-kanak manakala 12 orang dilaporkan hilang. Lebih 12,000 penduduk kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Taufan Melissa turut membadai bandar kedua terbesar Cuba sebelum bergerak ke arah Kepulauan Bahamas, yang melaksanakan operasi pemindahan besar-besaran melibatkan hampir 1,500 penduduk.

Setakat pukul 8 malam (waktu tempatan), Melissa menurun kepada Kategori 1 namun masih membawa angin kencang, hujan lebat serta ombak besar ketika bergerak ke timur laut merentasi kepulauan berkenaan.

Pihak ramalan cuaca AccuWeather menyifatkan Melissa sebagai taufan ketiga paling kuat dalam sejarah Caribbean serta antara yang paling perlahan bergerak, menjadikannya lebih memusnahkan.

Sementara itu, Kerajaan Jamaica telah memberi isyarat selamat untuk memulakan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan namun masih mengekalkan pusat perlindungan awam sepanjang minggu ini bagi menampung lebih 25,000 mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button