BERITA SEMASASUKAN

Debaran menjelang keputusan rayuan FAM isu pemain warisan

KUALA LUMPUR – Penantian penuh debaran menyelubungi arena bola sepak tanah air susulan keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, peguam sukan antarabangsa yang mewakili FAM, Serge Vittoz berkata, keputusan rayuan itu dijangka diketahui hari ini.

Keputusan tersebut sekali gus bakal menjawab persoalan mengenai status dokumentasi pemain terbabit yang kini menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan.

Vittoz berkata, proses rayuan tersebut menjadi peluang penting buat FAM mengemukakan hujah dan dokumen tambahan bagi mempertahankan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam satu sidang media pada Sabtu lalu menjangkakan FIFA tidak akan menukar keputusan berhubung tujuh pemain terbabit.

Tujuh pemain itu termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Walau bagaimanapun, baginda tidak menolak kemungkinan hukuman terhadap FAM dan pemain berkenaan akan diringankan.

Tunku Mahkota Ismail turut menegaskan agar FAM terus memperjuangkan kes itu sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya keputusan rayuan tidak memihak kepada mereka.

Untuk rekod, FIFA sebelum ini menggantung tujuh pemain terbabit selama 12 bulan dan mengenakan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap mereka, manakala FAM pula dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Sekiranya rayuan berkenaan ditolak, FAM turut berdepan risiko hukuman tambahan termasuk pemotongan mata terhadap skuad kebangsaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button