BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Malaysia berisiko dikenakan tarif lebih tinggi jika perjanjian ART dengan AS tidak dimeterai

KUALA LUMPUR – Kegagalan Malaysia memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) boleh mengundang tindakan balas ekonomi termasuk kenaikan semula kadar tarif eksport sehingga 100 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata risiko peningkatan tarif ke paras asal 24 peratus atau lebih tinggi akan memberi kesan langsung kepada sektor eksport negara yang bergantung kepada pasaran AS.

“Jika perjanjian ini tidak dimuktamadkan, besar kemungkinan kadar tarif akan menjadi lebih tinggi. Siapa yang akan menanggung beban ini nanti? Syarikat kita juga. Siapa yang akan kehilangan kerja dan punca pendapatan? Rakyat Malaysia juga,” katanya ketika membentangkan Sesi Kenyataan Menteri mengenai ART Malaysia-AS di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, rundingan intensif selama enam bulan membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya menurunkan kadar tarif dikenakan AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, iaitu kadar terendah dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.

Lebih signifikan, Malaysia turut memperoleh pengecualian daripada tarif timbal balas 19 peratus bagi 1,711 barisan tarif (tariff lines) merangkumi produk eksport utama negara seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.

Produk-produk tersebut secara kolektif menyumbang kira-kira RM22 bilion (AS$5.2 bilion) atau 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS pada 2024.

“Ini bukan satu angka kecil. Perjanjian ini memastikan akses berterusan bagi eksport barangan Malaysia ke pasaran AS dan memberi kelegaan kepada banyak industri tempatan,” jelasnya.

Tengku Zafrul turut menegaskan kelewatan menandatangani perjanjian tersebut boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan dasar perdagangan Malaysia.

“Pelabur tidak akan melabur di negara yang kelihatan teragak-agak dan tidak bersedia melindungi pasaran eksportnya sendiri. Kebolehramalan dan kebolehjangkaan amat penting kepada komuniti perniagaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button