AMRENCANA

Hubungan Seimbang, Ekonomi Teguh: Strategi Malaysia pimpin integrasi dagangan ASEAN

HUBUNGAN ASEAN dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat menjadi tumpuan utama Malaysia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang melabuhkan tirainya semalam.

Dalam menghadapi cabaran geopolitik global, Malaysia menegaskan kepentingan hubungan seimbang untuk memastikan kestabilan ekonomi serantau sambil memperkukuh integrasi dagangan antara negara anggota.

lim thye
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Goh Lim Thye.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Goh Lim Thye berkata, pendekatan omni-directional engagement membolehkan Malaysia dan ASEAN mengekalkan keseimbangan hubungan ekonomi dengan pelbagai kuasa besar tanpa menjejaskan kedaulatan atau kepentingan serantau.

“Strategi ini bukan sahaja memperkukuh daya saing ASEAN, malah menjamin kestabilan ekonomi dan keupayaan rantau menghadapi cabaran global secara kolektif,” katanya.

Tambah beliau, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan teras dalam memperkukuh diplomasi ekonomi dan mempercepat integrasi dagangan serantau.

“Antara inisiatif utama ialah Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA Upgrade), ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) dan pemerkasaan ASEAN Single Window (ASW).

“Langkah-langkah ini bertujuan mempercepat aliran barangan, menyeragamkan peraturan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan mengurangkan kos pematuhan di seluruh rantau,” jelasnya.

Bagaimanapun, Dr. Goh mengakui, integrasi ekonomi ASEAN masih berdepan cabaran.

“Jurang pembangunan, perbezaan dasar perdagangan, kapasiti institusi yang tidak seimbang serta halangan bukan tarif (NTMs) membataskan potensi perdagangan intra-ASEAN.

“Meskipun hampir semua tarif antara anggota telah dihapuskan, perdagangan intra-ASEAN hanya sekitar 25 peratus daripada jumlah keseluruhan, menunjukkan kebergantungan tinggi terhadap pasaran luar seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Oleh itu, Malaysia menekankan kepentingan pembangunan kapasiti institusi dan digitalisasi perdagangan agar manfaat integrasi dapat dirasai secara lebih saksama,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Dr. Goh memberitahu, hubungan dengan kuasa besar turut diperluas melalui Naik Taraf ACFTA 3.0 yang memperkukuh kerjasama ASEAN-China dalam perdagangan hijau, ekonomi digital dan fasilitasi perniagaan.

“Manakala hubungan dengan Amerika Syarikat memfokus kepada inovasi, teknologi canggih dan keselamatan rantaian bekalan.

“Pendekatan ini memastikan ASEAN tetap relevan, neutral dan mampu menyesuaikan diri dengan dinamik global,” tegasnya.

Di samping itu, integrasi perdagangan juga memberi impak positif kepada Malaysia termasuk peningkatan eksport, pelaburan langsung asing (FDI) dan pengembangan perusahaan tempatan.

“Kerjasama serantau, perkongsian teknologi dan pematuhan keselamatan digital adalah kunci untuk memastikan manfaat integrasi diagihkan secara saksama dan mengekalkan daya tahan ekonomi rantau.

“Malaysia kini semakin menegaskan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan pelaburan strategik sambil memperkukuh daya tahan ekonomi menghadapi ketidaktentuan global,” jelasnya.

Secara keseluruhan, diplomasi ekonomi Malaysia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 memperlihatkan strategi menyeluruh untuk menyeimbangkan hubungan dengan kuasa besar.

Ia sekali gus memperkukuh integrasi dagangan serantau dan menjadikan ASEAN platform yang stabil, inklusif dan berdaya saing di pentas dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button