BERITA SEMASAPMX

‘Kalau nak cabar, sila buat’ – PM Anwar

Anwar sedia beri laluan pembangkang usulkan undi tidak percaya ke atasnya di Dewan Rakyat

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan menghalang sebarang bentuk undi tidak percaya daripada pihak pembangkang dan sanggup memendekkan tempoh pembentangan usul di Dewan Rakyat daripada dua minggu kepada tiga hari.

Anwar berkata, pembangkang boleh berbuat demikian jika mempunyai cukup sokongan Ahli Parlimen untuk melaksanakan undi tidak percaya itu.

“Pas, BERSATU, kalau ada undi (tidak percaya), bentangkan usul. Saya tidak akan halang (daripada dibentangkan).

“Saya bukan seperti (Tan Sri) Muhyiddin Yassin. Apabila ada yang mahu membentangkan usul (undi) tidak percaya, dia sebaliknya isytihar darurat.

“Kalau nak cabar, sila buat. Saya akan beritahu Speaker Dewan Rakyat, kalau dua minggu terlalu lama (untuk serahkan notis), buat tiga hari,” katanya pada Ceramah Mega Arus Merah Kuning di Subang Bestari, di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; calon PH DUN Kota Damansara, Mohammad Izuan Ahmad Kasim; calon PH Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Calon BN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Anwar berkata sejak beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri Kerajaan Perpaduan, pemimpin parti pembangkang berkata kerajaannya hanya boleh bertahan beberapa bulan.

“Seorang pemimpin PAS kata kita hanya boleh bertahan tiga bulan. Jadi saya tunggu Mei, sebelum bulan puasa. Tiada apa-apa (tiada undi tidak percaya).

“Sekarang mereka berkata bahawa ia akan diadakan semasa sidang Parlimen seterusnya pada Ogos,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button