Bintang AF4 Lotter meninggal dunia akibat penyakit tiroid
Bintang AF4 Lotter meninggal dunia akibat penyakit tiroid
KOTA KINABALU – Khabar duka menyelubungi industri seni Sabah apabila penyanyi dan naib juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) Lotter meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini, semalam, selepas lama bertarung dengan penyakit tiroid.
Lotter atau nama sebenar Lotter P Edwin Edin dikenali ramai kerana karakter ceria dan bakatnya yang mampu menghiburkan ramai, meninggalkan kesan mendalam kepada rakan artis serta penggiat seni tempatan.
“Tiada sudah Lotter, artis kesayangan kita,” kata Maldini, rakan karib mendiang dan salah seorang penggiat seni Sabah ketika mengesahkan berita pemergian itu.
Menurut sumber terdekat, Lotter sering menyembunyikan kesakitan dan terus menunjukkan wajah ceria kepada rakan-rakan.
Justeru, ramai yang terkejut apabila mendapat berita pemergiannya.
Penyanyi berkenaan juga dikhabarkan sudah bertunang dan merancang untuk mendirikan rumah tangga.
Mendiang Lotter mula dikenali selepas menyertai AF4 pada 2006 ketika berusia 25 tahun.
Setelah bersaing selama 10 minggu, beliau muncul sebagai naib juara di belakang Faizal (Mohd Faizal Ramly) dari Marang, Terengganu.
Sejak itu, Lotter aktif dalam kerjaya seni di Sabah, memikat peminat dengan bakat nyanyian dan keperibadiannya yang ceria.
Lotter dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di hospital di sisi keluarga dan rakan-rakan terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








