LUAR NEGARA

Pengasas empayar 7-Eleven Jepun meninggal dunia pada usia 93 tahun

TOKYO – Pengasas dan tokoh penting di sebalik kejayaan rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven di Jepun, Toshifumi Suzuki meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 18 Mei lalu pada usia 93 tahun.

Perkara itu diumumkan syarikat induk Seven & i Holdings hari ini, sekali gus mengakhiri legasi seorang tokoh yang dianggap ‘bapa industri kedai serbaneka Jepun’.

Menurut laporan Kyodo News, Suzuki memainkan peranan besar dalam membawa jenama 7-Eleven ke Jepun pada awal 1970-an sebelum mengubahnya menjadi antara rangkaian kedai serbaneka paling berjaya di dunia.

Dilahirkan di Wilayah Nagano pada 1 Disember 1932, Suzuki memulakan kerjaya dalam industri penerbitan sebelum menyertai syarikat peruncitan Ito-Yokado pada 1963.

Walaupun menerima pelbagai keraguan ketika itu, beliau bekerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat, Southland Corp untuk membawa francais 7-Eleven ke Jepun pada 1973 sebelum membuka cawangan pertama di Toyosu, Tokyo setahun kemudian.

7E
Salah satu kedai serbaneka 7-Eleven di Senda, Bandaraya Hiroshima, Jepun.

Suzuki kemudian dilantik sebagai Presiden Seven-Eleven Jepun pada 1978 dan memperkenalkan pelbagai pembaharuan termasuk penggunaan analisis data bagi menentukan stok jualan mengikut permintaan pelanggan.

Laporan Associated Press menyebut, mendiang turut mengubah konsep kedai serbaneka Jepun atau ‘conbini’ menjadi pusat sehenti masyarakat dengan menawarkan makanan sedia dimakan, pembayaran bil, mesin ATM dan pelbagai perkhidmatan harian lain.

Pada awal 1990-an, Suzuki turut mengetuai usaha menyelamatkan Southland Corp selepas syarikat induk 7-Eleven di Amerika Syarikat itu mengalami masalah kewangan dan muflis.

Langkah tersebut akhirnya membawa kepada penguasaan penuh operasi global 7-Eleven oleh syarikat Jepun.

Beliau kemudiannya menubuhkan Seven & i Holdings pada 2005 dan memperluaskan empayar syarikat itu menjadi konglomerat peruncitan utama dunia.

Suzuki meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada 2016 susulan pertikaian pengurusan, namun kekal berkhidmat sebagai penasihat kehormat dan terus dihormati sebagai tokoh berpengaruh dalam industri peruncitan Jepun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button