LHDN iktiraf komitmen BAT, Kumpulan Habib dalam tadbir urus percukaian korporat
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus baik dalam sektor korporat melalui pelaksanaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (Tax Corporate Governance, TCG).
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi tersebut untuk membina sistem percukaian yang telus, berakauntabiliti dan menyokong agenda pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan syarikat di negara ini.
Sebagai kesinambungan kepada komitmen tersebut, LHDN telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sijil Program TCG di Menara LHDN di sini, bagi mengiktiraf syarikat-syarikat yang berjaya menyertai program berkenaan.

Lima syarikat diraikan pada majlis itu, terdiri daripada dua syarikat bersekutu British American Tobacco (BAT) iaitu BAT ASPAC Service Centre Sdn. Bhd. dan British American Tobacco GSD (Kuala Lumpur) Sdn. Bhd. serta tiga syarikat di bawah Kumpulan Syarikat HABIB iaitu Habib Jewelry Manufacturing Sdn. Bhd., Habib Jewels Sdn. Bhd. dan Habib Jewels Franchise Sdn. Bhd.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli.
Ia turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Sadik Habib Mohamed; Pengarah British American Tobacco GSD (Kuala Lumpur) Sdn. Bhd., Samantha Lee serta Head of Tax BAT Malaysia, Stephen Wong.
“Program TCG merupakan antara strategi utama LHDN dalam memupuk budaya pematuhan cukai secara sukarela dan berintegriti di kalangan syarikat korporat di Malaysia.
“Melalui program ini, organisasi digalakkan memperkukuh sistem kawalan dalaman, meningkatkan kecekapan pengurusan risiko percukaian serta menyelaraskan dasar percukaian dengan lebih berkesan.
“Pendekatan ini juga membuka ruang kepada kerjasama strategik antara LHDN dan pembayar cukai sekali gus membina keyakinan serta kepercayaan terhadap sistem percukaian negara yang selaras dengan piawaian global,” kata LHDN dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, LHDN optimis bahawa pelaksanaan program tersebut akan memberi impak positif yang signifikan termasuk memperkukuh kawalan dalaman syarikat dan mengurangkan risiko audit.
“Di samping itu, ia mampu mempercepatkan proses bayaran balik cukai serta meningkatkan keyakinan pemegang taruh terhadap sistem percukaian negara yang profesional dan berakauntabiliti,” tambahnya.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklum balas, orang ramai boleh menghubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (luar negara), menggunakan Live Chat atau melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







