Festival Seni Warisan Anak MADANI semarak cinta budaya generasi muda
KUALA LUMPUR – Festival Seni Warisan Anak MADANI 2025 selama dua hari di Sekolah Kebangsaan La Salle, Brickfields, di sini kelmarin berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menjadi wadah semangat cintakan seni dan warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.
Program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Sinaran Matahari Kuala Lumpur/Selangor (PKSM) di bawah Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) itu disertai kira-kira 80 pelajar.
Antara persembahan yang dipamerkan adalah demonstrasi Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, Wushu Taijiquan oleh Persatuan Dong Bei Bei, persembahan Silambam serta tarian tradisional dan moden oleh Artis Cilik Setiawangsa dan MJ Dance Troupe yang menceriakan suasana.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Rajah Symon yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas penganjuran acara berimpak tinggi dalam memperkukuh semangat Malaysia MADANI melalui seni dan budaya.
Menurut beliau, penganjuran festival sedemikian penting bagi melahirkan generasi muda yang memahami, menghargai serta mempertahankan nilai warisan budaya sebagai tunjang perpaduan bangsa.
“Pendedahan awal terhadap seni dan warisan mampu membentuk anak-anak yang berjiwa bangsa, berdisiplin serta menghargai kepelbagaian budaya negara.
“Dalam kepesatan arus teknologi yang berkembang tanpa sekatan, kita rakyat Malaysia harus menghidupkan semula aktiviti seni dan budaya seperti ini bagi mengukuhkan lagi akar perpaduan dalam jiwa nurani kita,” katanya pada majlis perasmian itu.

Rajah turut menegaskan, festival seumpama itu wajar dijadikan acara tahunan kerana berpotensi menjadi platform memperkukuh kefahaman budaya antara kaum selain menanam rasa bangga terhadap khazanah warisan negara.
Sementara itu, Ketua Publisiti dan Program PKSM, Suraya Rahman berkata, pihaknya komited meneruskan inisiatif yang menyatukan unsur kebajikan, masyarakat dan kebudayaan dalam satu landasan harmoni.
“Kami mahu menjadi jambatan antara rakyat dan nilai budaya yang luhur ke arah Malaysia MADANI yang sejahtera serta berbudaya tinggi,” ujar beliau.
Katanya, kemeriahan program turut menarik penyertaan masyarakat setempat yang menyambut baik inisiatif PKSM dan MOTAC menjadikan seni serta budaya sebagai asas pembinaan jati diri bangsa dan pemangkin perpaduan nasional.
Dalam pada itu Suraya berkata PKSM kini dalam perancangan menganjurkan festival makanan warisan dan tradisional sebagai usaha memelihara dan memperkenalkan warisan kulinari negara kepada masyarakat dan pelancong.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan kebenaran penganjuran di Dataran Merdeka sebagai lokasi tumpuan utama pelancong di ibu kota.
“Penganjuran festival makanan dua kali sebulan ini bukan sahaja dapat memperkenalkan sajian tradisional yang jarang dinikmati kepada orang ramai dan pelancong malah menjadi platform penting dalam usaha melestarikan identiti gastronomi tempatan,” tambahnya.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








