BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua pelancong China hilang di Pulau Mantanani masih belum ditemui

KOTA BELUD – Usaha mencari dua pelancong warga China yang hilang di Pulau Mantanani sejak Sabtu lalu masih diteruskan dan diperluas ke beberapa kawasan perairan sekitar.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kedua-dua mangsa iaitu Yu Xiapeng, 25, dan Fan Qin, 28 kali terakhir dilihat melakukan aktiviti snorkeling berhampiran resort penginapan mereka sebelum gagal dikesan.

“Pihak resort melaporkan kehilangan kedua-dua pelancong itu pada 5 Oktober. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan secara besar-besaran dengan penyertaan kira-kira 80 anggota terdiri daripada pelbagai agensi termasuk orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, tumpuan pencarian meliputi perairan barat Pulau Mantanani, termasuk Tanjung Batu, pesisir Pulau Mantanani Besar dan Kecil, serta diperluas ke Pulau Kelambu dan Tanjung Simpang Mengayau.

Bagi memperhebat usaha pencarian, Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut digerakkan menggunakan pesawat Textron 208 (9M-PSQ) bagi menjalankan pemantauan dari udara pada ketinggian kira-kira 1,000 kaki.

“Pasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga melaksanakan pencarian dasar laut di lokasi berpotensi bagi mengesan sebarang petunjuk,” jelasnya.

Operasi hari kelima ditamatkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula esok dengan fokus di kawasan laut berisiko tinggi.

Terdahulu, kedua-dua pelancong dilaporkan menginap di Sutera Mantanani Resort pada 4 Oktober dan dijadualkan mendaftar keluar keesokan harinya, namun sehingga kini masih belum ditemui.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button