JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Saksi dedah kumpulan ‘Circle 19’ hadir dalam pertemuan bersama Allahyarhamah

KOTA KINABALU – Seorang saksi pelajar hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pertemuan terakhir dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir turut disertai oleh sekumpulan pelajar perempuan yang dikenali sebagai Circle 19.

Saksi ke-10 itu memberi keterangan bahawa pertemuan pada 15 Julai lalu berkenaan yang dikatakan berkaitan kejadian kehilangan barang di asrama bukanlah mesyuarat rasmi asrama atau mesyuarat bilik.

Peguam keluarga Allahyarhamah, Shahlan Jufri berkata, saksi turut menjelaskan bahawa dia tidak pasti sama ada pihak warden atau guru mengetahui kewujudan kumpulan pelajar tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Mustapha.

“Saksi berkata perjumpaan malam itu melibatkan ahli Circle 19, namun ia bukan mesyuarat rasmi asrama.

“Dia juga menyatakan teguran daripada pelajar senior terhadap pelajar junior lazimnya dibuat dengan nada tegas tetapi dia tidak pernah melihat pelajar lain dipanggil ke dorm lain untuk disoal tentang kehilangan barang,” kata Shahlan kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah hari ini.

Tambahnya, saksi itu juga tidak dapat mengesahkan sama ada kumpulan tersebut memainkan peranan tertentu seperti menasihati pelajar lain dalam hal disiplin atau kehilangan barang di asrama.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Joan Goh berkata, Circle 19 dipercayai terdiri daripada 19 pelajar perempuan yang rapat antara satu sama lain, kesemuanya berasal daripada kelas sama tetapi tinggal di blok asrama berbeza.

“Saksi menjelaskan bahawa mereka hanyalah sekumpulan rakan baik yang sering melakukan aktiviti bersama sejak Tingkatan Satu.

“Apabila ditanya sama ada kumpulan itu terlibat dalam sebarang bentuk buli terhadap Zara, saksi menafikan perkara tersebut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian pelajar Tingkatan Satu itu akan disambung semula di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada 12 Oktober ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button