Kadar elaun rendah punca warga pendidik tidak berminat sertai NPQEL
KUALA LUMPUR – Kadar elaun rendah dikenal pasti sebagai punca kurangnya minat warga pendidik untuk menyertai program Kelayakan Profesional Kebangsaan untuk Pemimpin Pendidikan (NPQEL) sebelum dilantik sebagai pengetua dan guru besar (PGB).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata penetapan elaun itu bagaimanapun dibuat mengikut jumlah ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam penggredan dan penskiman sedia ada.
Beliau berkata, kadar elaun diberikan kepada guru yang menyertai NPQEL masing-masing RM300 bagi pengetua dan RM200 untuk guru besar.
“Saya ketika bertemu potensi guru dan pelapis PGB sering menasihati mereka apabila berada dalam bidang pendidikan, ia adalah tanggungjawab dan peranan penting untuk mendidik murid, bukannya sekadar jawatan semata-mata.
“Paling utama, kita perlu tanam semangat tanggungjawab bagi memastikan kelangsungan ekosistem pendidikan dengan baik, selain memastikan ada kepemimpinan baik,” katanya sambil mengakui faktor ketersediaan calon pelapis bagi dilantik PGB turut menyumbang kepada isu kekurangan pengetua dan guru besar di sekolah seluruh negara.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) di Dewan Rakyat mengenai kesediaan KPM meneliti semula kadar elaun diberikan kepada guru yang menyertai NPQEL sebagai motivasi merancakkan penyertaan.
NPQEL adalah program pembangunan kepimpinan pendidikan selama setahun yang bertujuan melatih dan menyediakan pemimpin sekolah berpotensi terutama PGB, dengan dikendalikan Institut Aminuddin Baki (IAB).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








