PENDAPATRENCANA

Universiti perlu keluar dari kepompong ‘menara gading’, capai matlamat sebenar komuniversiti

Oleh DR SITI SURIANI OTHMAN

TIDAK dapat kita nafikan, teknologi telah mengubah hidup kita dari pelbagai segi.

Ciptaan seperti telefon pintar, kecerdasan buatan (AI) dan media sosial misalnya menjadikan hidup kita lebih mudah, lebih pantas berkomunikasi dan lebih terhubung.

Namun tidak dapat kita nafikan juga, bahawa kemudahan-kemudahan ini mempunyai kesan yang kritikal terhadap manusia dan kemanusiaan di mana manusia semakin terasing, kesihatan mental terjejas dan jurang sosial yang semakin melebar.

Berkaitan perkembangan ini, ada satu persoalan berlegar-legar di fikiran.

Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) semakin signifikan dalam urusan seharian kehidupan manusia zaman ini. – Gambar hiasan

Apakah peranan universiti dan adakah universiti sekadar melahirkan graduan untuk memenuhi pasaran kerja selari dengan perkembangan teknologi atau menjadi pusat pembinaan insan seimbang yang mampu menyelesaikan masalah sebenar masyarakat?

Universiti yang sering kita lihat sebagai menara gading dengan prestijnya yang tersendiri mungkin perlu dirapatkan hubungannya dengan komuniti yang menjadi asas kepada konsep komuniversiti.

Ia merupakan gabungan ‘community’ dan ‘university’ iaitu idea yang dilaungkan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Profesor Abdul Rashid Moten dalam penulisan terbaharu.

Dengan judul Towards Sustainable Education: The Need for ‘Communiversity’ karya itu diterbitkan dalam jurnal antarabangsa terkemuka, Journal of Education for Sustainable Development terbitan Sage Publications.

Mari kita fahami dahulu apa yang dimaksudkan dengan Komuniversiti.

Komuniversiti bermaksud universiti yang hidup bersama komuniti. Konsep ini menolak idea bahawa universiti hanyalah ‘menara gading’ yang mengejar ranking dunia dan bilangan penerbitan semata-mata.

Sebaliknya menerusi konsep ini, universiti menjadi rakan kongsi masyarakat iaitu mendengar masalah mereka, sama-sama mencari penyelesaian dan menjadikan ilmu sebagai jalan membina dan mencapai kesejahteraan hidup.

Tidak keterlaluan jika boleh kita katakana bahawa sistem pendidikan hari ini banyak terperangkap dalam model ‘WEIRD’ (Westernized, Economic-centric, Industry-led, Reputation-obsessed, Dehumanizing).

Konsep komuniversiti mengajak kita ke arah ‘WISER’ (Worldwide, Inclusive, Sustainable, Equitable, Rahmatan lil ‘Alamin).

Dengan bahasa mudah pendidikan tidak boleh hanya melahirkan pekerja kilang teknologi tetapi insan yang berhati, ada empati dan rasa tanggungjawab kepada alam dan manusia.

Konteks contoh tempatan yang dibawakan Dzulkifli dan Rashid ialah bagaimana konsep ini diterapkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sendiri.

Bercakap menerusi pengalaman, Dzulkifli yang merupakan mantan Rektor IIUM telah membuktikan bahawa komuniversiti bukan sekadar teori.

UIAM menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk Green Gown Award 2020 sebagai Intitusi Lestari Dunia.

Sejak 2018, IIUM mula melaksanakan transformasi besar melalui pendekatan Whole Institution Transformation (WIT) dan Whole Community Transformation (WCT).

Beberapa langkah besar yang dilakukan termasuklah:

1. Memperkenalkan kerangka SPICES (Sejahtera) iaitu pendidikan yang seimbang dari segi spiritual, psikologi, intelektual, budaya, emosi, ekologi, ekonomi dan sosial.

2. Menggerakkan 29 projek rintis utama dengan penglibatan komuniti termasuk isu pendidikan berkualiti, kesihatan, alam sekitar, inovasi digital dan pembangunan sosial. Sehingga 2024, lebih 8,600 pelajar terlibat dalam 400 projek bersama masyarakat.

3. Menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk Green Gown Award 2020 sebagai Institusi Lestari Dunia dan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai peneraju RCE Greater Gombak.

Mari kita lihat makna di sebalik usaha dan pencapaian ini.

IIUM membuktikan bahawa universiti boleh berjaya bukan kerana ranking semata-mata, tetapi kerana memberi kesan nyata kepada manusia dan bumi.

Konsep ini nyata telah membuahkan hasil di luar negara.

Projek Golden Triangle Comuniversity di Mississippi (Amerika Syarikat) misalnya lahir hasil kerjasama kolej komuniti, sekolah, universiti dan industri tempatan.

Projek Golden Triangle Communiversity di Mississippi lahir hasil kerjasama kolej komuniti, sekolah, universiti dan industri tempatan.

Ramai penduduk mendapat latihan kemahiran baharu seperti automasi industri dan teknologi kimpalan.

Hasilnya, peluang pekerjaan meningkat dan ekonomi tempatan melonjak.

Di Augsburg University, Minnesota di Amerika Syarikat, melalui inisiatif Campus Kitchen pelajar bekerjasama mengagihkan lebihan makanan kepada keluarga miskin.

Kejayaan projek ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran tetapi membina hubungan erat antara pelajar dengan masyarakat.

Di United Kingdom (UK) pula, University of Brighton melalui Community-University Partnership Programme (CUPP) menjalankan ratusan projek komuniti dalam bidang kesihatan awam, pendidikan dan pembangunan belia.

Kesannya komuniti lebih yakin, NGO tempatan lebih kukuh dan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran dunia sebenar.

Contoh-contoh ini menunjukkan komuniversiti bukan retorik tetapi model yang terbukti berjaya dan boleh dicontohi Malaysia.

Mungkin boleh kita bayangkan bersama-sama jika universiti-universiti di Malaysia mengambil pendekatan komuniversiti:

1. Reputasi global meningkat bukan kerana indeks sitasi semata-mata, tetapi kerana impak sosial yang diiktiraf UNESCO dan badan antarabangsa.

2. Komuniti lebih sejahtera dan masalah seperti kemiskinan bandar, pendidikan Orang Asli atau pencemaran sungai boleh ditangani bersama.

3. Graduan lebih seimbang di mana pelajar bukan sahaja pandai teori tetapi juga ada empati, kemahiran sosial dan pengalaman lapangan.

4. Ekonomi tempatan meningkat melalui projek keusahawanan sosial, inovasi mesra alam dan jaringan industri-komuniti.

5. Tiada siapa tertinggal sesuai dengan semangat No One Left Behind, universiti menjadi milik semua lapisan masyarakat.

Saya berfikir sudah tiba masanya universiti-universiti di Malaysia keluar daripada kepompong ‘menara gading’ dan mengorak langkah menerusi konsep komuniversiti yang membuka jalan baharu iaitu pendidikan yang membumi, relevan dan berkesan.

Dalam konteks ini, UIAM telah menunjukkan jalan. Universiti luar negara juga sudah membuktikan kejayaannya.

Kita yakini jika universiti-universiti tempatan berani melangkah, Malaysia bukan sahaja akan melahirkan graduan pintar tetapi juga masyarakat sejahtera dan negara yang lebih dihormati dunia.

Dengan kata lain, komuniversiti bukan sekadar satu konsep tetapi masa depan pendidikan yang lebih manusiawi dan lebih seimbang.

Dr. Siti Suriani Othman

* Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button