BERITA SEMASAGAYA HIDUP

Penyatuan rasa, seni dan warisan di Pantai Timur Fest 2025

KUALA LUMPUR – Pantai Timur Fest 2025 (PTF 2025) menjadi platform strategik untuk menjenamakan semula Pantai Timur sebagai destinasi yang menyatukan rasa, seni dan warisan dalam satu pengalaman menyeluruh.

Festival yang berlangsung di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur dari 1 hingga 21 Oktober itu dianjurkan oleh Tourism Malaysia bersama Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur.

Ia turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Pahang, Tourist Information Centre (TIC) Kelantan, KL Hop-On Hop-Off serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pantai Timur Fest
Pelbagai sajian tradisi yang membuka selera boleh dinikmati pada festival ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, penganjuran program PTF 2025 ini bertepatan dengan usaha membina momentum ke arah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Di samping itu, ia juga mampu merancakkan pergerakan pelancongan domestik sama ada merentasi negeri mahupun dalam negeri,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Menampilkan dua segmen utama, PTF 2025 mempromosikan hidangan warisan Pantai Timur di Zende Restaurant dan penyertaan 33 pengusaha makanan tempatan dengan lebih 30 hidangan.

Selain itu, turut diadakan persembahan kebudayaan, demonstrasi kraf dan jualan produk dari 2 hingga 5 Oktober di ruang legar serta perkarangan hotel.

Para pengunjung berpeluang merasai keaslian cita rasa, keindahan seni kraf serta alunan muzik tradisional dari Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dibawa terus ke ibu kota.

“Festival ini bukan sahaja memperkenalkan ikon warisan seperti Nasi Dagang, Tenun Pahang Diraja dan Mak Yong, malah membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni, usahawan tempatan dan komuniti setempat.

“Ia menyasarkan pelancong tempatan dan antarabangsa, menarik minat keluarga, pencinta makanan, peminat seni serta generasi muda yang mencari pengalaman budaya segar dan kontemporari,” kata Manoharan lagi.

PTF 2025 juga diserikan dengan kehadiran artis-artis ternama seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Joe Wings, Radhi OAG dan Yuletta Yucha.

Selain itu, perkhidmatan bas KL Hop-On Hop-Off turut menambah laluannya ke Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur bagi memudahkan para pelawat.

Antara khazanah seni dan warisan Pantai Timur yang diketengahkan ialah Tenun Pahang Diraja, pertukangan kraf tembaga Terengganu dan rekaan barang kemas Kelantan.

Tidak ketinggalan, akan berlangsung persembahan tradisional seperti Dikir Barat dan Mak Yong oleh Akademi Arjuna Sukma, Gendang Pahang oleh Persatuan Pusaka Gendang Pahang, alunan Gamelan oleh Kumpulan Sutera Tari dan persembahan mistik Ulik Mayang oleh Kumpulan Mayang Sari, Terengganu.

Sepanjang 21 hari festival, Zende Restaurant Seri Pacific Hotel menghidangkan sajian autentik Pantai Timur termasuk Nasi Dagang, Nasi Kerabu, Patin Tempoyak, Laksam dan pelbagai kuih tradisional di samping hidangan moden berinspirasikan Pantai Timur yang relevan dengan selera masa kini.

Secara keseluruhan, PTF 2025 mengangkat warisan, seni dan gastronomi sebagai tarikan unik yang bukan sahaja memacu ekonomi pelancongan, malah memperkukuh identiti bangsa dan menyatukan komuniti.

Festival itu diyakini menjadi landasan penting menuju kejayaan Visit Malaysia 2026, sambil menawarkan pengalaman autentik kepada pelancong.

Berdasarkan prestasi pelancongan domestik 2024 yang mencatatkan 260.1 juta pelawat, kerajaan mensasarkan 280 juta pelawat domestik pada 2025, sekali gus dijangka memberi limpahan ekonomi lebih luas kepada industri pelancongan dan komuniti setempat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button