Nadir Al-Nuri Seru sumbangan Tabung Sumud Nusantara
KUALA LUMPUR – Komandan Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri menggesa orang ramai memperhebatkan sumbangan ke Tabung Sumud Nusantara bagi memastikan kesinambungan perjuangan flotilla ke Gaza dapat diteruskan dengan lebih berkesan.
Beliau menegaskan, komitmen sebenar hanya dapat diterjemahkan melalui tindakan menyumbang dan bukan sekadar berbicara di media sosial.
Bahkan katanya, pihaknya yakin untuk memikul tanggung jawab mengemudi pergerakan flotila seterusnya.
“Kalau setakat sembang bukan boleh buat gelombang seterusnya. Komitmen kita untuk akan datang, Sumud Nusantara akan memimpin. Ya, negara dan rantau kita jadi tuan rumah.
“Justeru kita perlukan dana besar untuk bergerak dengan cepat dan berkesan. Sumbang dan sebar cepat, butang Donate Now ada di laman sumudnusantara.com,” katanya dalam satu hantaran, hari ini.

Nadir turut berkongsi pengorbanan pasukan koordinasi yang bertungkus-lumus menguruskan flotilla serta memberi kemas kini tanpa henti.
“Dah nak terkeluar biji mata ni berpuluh jam mengkoordinasi pergerakan flotilla dan memberi update. Harapnya sempat lelap sekejap, bila bangun dah tercapailah sasaran ni. Moga Jumaat ini membawa berkah, ameen,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Nadir menegaskan walaupun konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak dapat berlabuh di pantai Gaza, usaha itu tetap berjaya menarik perhatian dunia.
“Mungkin kita tak berjaya menyuap makanan ke mulut mereka, tetapi kita berjaya membuka mata jutaan manusia melihat semula penderitaan di sana,” katanya.
Tabung Sumud Nusantara dilancarkan sebagai platform rasmi menggembleng dana rakyat Malaysia untuk menyokong perjuangan kemanusiaan ke Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













