Berita Semasa

Hidapi penyakit jarang jumpa, adik Sufi Syafrina perlu RM9 juta untuk berubat

KAJANG – Datuk Seri Ismail Sabri menyeru Keluarga Malaysia membantu seorang pesakit berusia enam bulan Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang memerlukan dana RM9 juta bagi mengubati penyakit Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1 yang dihidapinya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, adik Sufi memerlukan dana itu untuk membeli ubat Genetik Zolgensma dan seterusnya dapat menjalankan rawatan pemulihan
penyakit tersebut.

“Saya amat tersentuh melihat keadaan adik Sufi Syafrina yang terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan 24 jam untuk meneruskan kehidupan.

“Saya turut dimaklumkan rawatan ini perlu dilakukan segera atau sebelum usia mencecah 2 tahun. Saya berharap lebih banyak pihak seperti syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama membantu agar rawatan ini dapat disegerakan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi adik Sufi Syafrina di sini hari ini.

Dalam pada itu menurut Mohd Shafiq, setakat ini jumlah terkumpul sumbangan daripada orang ramai sebanyak RM60,000.

Mohd Shafiq yang bekerja sebagai penternak lembu berkata, anaknya itu juga memerlukan kira-kira RM700 sebulan untuk membawa anaknya menjalani rawatan fisioterapi untuk membolehkan saraf-sarafnya terbuka dan berfungsi.

Menurut Mohd Shafiq, bagi merawat anaknya itu, pihaknya memerlukan dana tersebut sebelum dia berusia 2 tahun.

“Saya berharap dapat sumbangan ini untuk selamatkan nyawa anak saya. Ketika ini keadaan dia agak serius apabila perlu bergantung kepada mesin untuk membantu paru-parunya mengembang dan bernafas.

“Kalau buka untuk mandi, boleh nampak dadanya berombak. Kita memang perlukan penjagaan yang rapi. Tidur pun kami tak boleh tidur mati sebab perlu pantau adik Sufi,” katanya.

Katanya lagi, buat masa ini mesin tersebut juga perlu disewa dengan harga RM500 sebulan.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Mohd Shafiq ditalian 011-59787879 atau terus membuat sumbangan ke akaun Maybank
atas namanya bernombor 562021680453.

Sebelum ini sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya mengumpul dana sebanyak RM9 juta untuk Wan Muhammad Naail atau Naail bagi merawat penyakit sama.

Selain Naail, NGO berkenaan turut membantu seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Athif Fahri Mohd. Farhan atau Athif.

Show More

Related Articles

Back to top button