PRK Pelangai: Siapa pun calon, yang penting BN perlu menang – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru ahli UMNO agar memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, siapa pun yang diletakan sebagai calon itu tidak penting, kerana kemenangan BN itu sendiri lebih penting bagi memulihkan imej parti yang dikatakan sudah tercalar susulan prestasi teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Dia (Amizar) bertanding atas parti kita, dia bukan bertanding sendiri atas diri dia, calon ini mewakili parti jadi kita sebagai ahli parti mestilah menyokong calon daripada parti kita.
“Siapa sahaja yang dicalonkan tidak penting,yang penting adalah mereka mewakili parti kita, kalau calon kita kalah dalam PRK nanti, bukan calon itu sendiri kalah tetapi seluruh parti akan kalah.
“Imej parti akan tercemar kerana calon itu kalah maknanya ianya merangkumi benda yang besar, bukan setakat individu kalah tapi yang lebih besar kekalahan kepada parti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu 2023, hari ini.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Bebas.
Mereka adalah Kasim Samat yang mewakili PN, Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas) dan Amizar Abu Adam (BN).
Ditanya mengenai kemelut yang melanda PRK DUN Pelangai apabila Pemuda UMNO Bentong, Haslihelmy nekad bertanding atas tiket bebas, Bekas Naib Presiden UMNO itu enggan menggulas berhubung konflik tersebut, namun menegaskan akan tetap turun bagi membantu dan menyokong calon BN.
“Saya harap PRK DUN Pelangai kita pastikan kemenangan calon kita, kalau tidak akan jadi 16 kerusi DUN di BN, dulu 17-17 sekarang kalau kalah hilang satu kerusi, kita tinggal 16-18 kerusi DUN.
“Maknanya kita kalah dengan PN, 18-16, kalau kita menang kita kembali ke kerusi asal,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








