BERITA SEMASA

Kedutaan Malaysia di Iran kembali beroperasi

NEW YORK – Kedutaan Malaysia di Iran yang ditutup sementara berikutan konflik antara negara itu dengan Israel pada Jun lalu, kini kembali beroperasi sepenuhnya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar juga telah kembali bertugas di Tehran selepas pulang seketika ke tanah air ketika ketegangan memuncak.

“Penutupan sementara itu sudah selesai. Duta Besar kita telah kembali ke Tehran dan operasi berjalan seperti biasa. Kita berharap tidak ada lagi konflik berlaku.

“Sekiranya berlaku ketidaktentuan di Asia Barat, kesannya bukan sahaja dirasai di Asia Tengah malah seluruh dunia, termasuk Malaysia, turut menerima tempiasnya walaupun berada jauh,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Kenyataan Negara di sesi Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status terkini kedutaan berkenaan yang sebelum ini ditutup susulan serangan udara tanpa provokasi rejim Zionis ke atas wilayah Iran.

Serangan itu mencetuskan tindak balas apabila Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.

Susulan perkembangan tersebut, Kementerian Luar mengambil langkah membawa pulang rakyat Malaysia termasuk Duta Besar, kakitangan kedutaan serta keluarga mereka melalui laluan Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand sebelum kembali ke Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia menubuhkan Kedutaan di Tehran pada tahun 1970, manakala Iran membuka Kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1981.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button