BERITA SEMASADALAM NEGERI

Arus edaran punca gangguan elektrik di KLIA Terminal 2

PUTRAJAYA – Insiden gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada 28 Ogos lalu dikenal pasti berpunca daripada kewujudan arus edaran di sepanjang laluan kabel utama.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, arus edaran tersebut berlaku di laluan kabel antara Pencawang 33kV yang membekalkan kuasa ke KLIA T2 dengan pencawang 11kV di terminal, sekali gus menyebabkan pemanasan setempat pada penamatan kabel sehingga berlakunya kejadian flashover.

“Hasil siasatan teknikal oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mendapati faktor utama insiden ialah kewujudan arus edaran yang terhasil di sepanjang laluan kabel.

“Faktor rintangan tanah (Soil Resistivity – SR) yang tinggi turut menyumbang secara tidak langsung dengan menghalang pelepasan arus ke bumi secara berkesan, sekali gus meningkatkan tekanan haba pada kabel pelindung (sheath wires),” jelas kenyataan itu.

Gangguan elektrik itu mendapat teguran Anthony yang berada di KLIA 2 ketika kejadian dan menyifatkan insiden berkenaan sebagai tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara.

Susulan insiden tersebut, pasukan teknikal MAHB telah mengambil beberapa langkah segera, antaranya membaiki semua penamatan kabel, memasang sarung pembatas voltan pada lokasi pendawaian silang (cross bonding) serta menilai semula pemasangan pembumian (earthing installation).

Selain itu, rejim penyelenggaraan turut diperkukuhkan dengan menggabungkan ujian separa nyahcas dan pemeriksaan termografi dalam pelan penyelenggaraan pencegahan kabel kuasa.

“Bagi meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem, MAHB juga mengenal pasti tindakan penambahbaikan jangka panjang, termasuk mengkaji pemasangan sistem Automatic Transfer Switch (ATS) untuk mempercepatkan bekalan kuasa sokongan serta mengoptimumkan penggunaan generator bagi melindungi lebih banyak perkhidmatan kritikal.

“Selain itu, jadual penyelenggaraan Planned Preventive Maintenance (PPM) bagi ujian beban genset di Gateway@klia2 turut dipendekkan daripada tiga bulan sekali kepada dua bulan sekali,” tambah kenyataan itu.

MAHB turut menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap rintangan tanah di sepanjang laluan kabel termasuk analisis bermusim serta keberkesanan sistem pembumian dan cross bonding bagi mengurangkan risiko arus edaran di masa hadapan.

Syarikat itu mengesahkan tiada operasi kritikal lapangan terbang terjejas susulan kejadian tersebut, manakala Kementerian Pengangkutan memberi jaminan akan terus memantau rapat pelaksanaan semua langkah susulan agar tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem di KLIA sentiasa berada pada tahap terbaik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button